Oleh: Afrizam Arif @ IMedikel TV
SELANGOR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu rakyat menjadi “Arkitek Kemajuan Masyarakat” dengan memanfaatkan ilmu, kemahiran dan peluang ekonomi bagi membina komuniti yang lebih berdaya maju dan sejahtera.
Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, tema Festival Masyarakat 2026 (FESMA 2026) itu mengingatkan bahawa kemajuan tidak berlaku dengan sendiri sebaliknya memerlukan perancangan, ilmu, kemahiran, nilai murni dan kerjasama pelbagai pihak.

Beliau berkata, setiap individu mempunyai peranan dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Gagasan Arkitek Kemajuan Masyarakat perlu diterjemahkan melalui tindakan dengan mengenal pasti potensi, menyediakan ruang dan menghubungkan masyarakat dengan pelbagai peluang pembangunan,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan FESMA 2026 di Universiti Islam Selangor (UIS) hari ini.
Menurut beliau, FESMA 2026 yang memasuki penganjuran kali kedua menjadi platform untuk menghubungkan masyarakat dengan ilmu, kemahiran, bakat dan peluang menerusi pelbagai aktiviti pembangunan komuniti.

Katanya, festival itu menampilkan tiga komponen utama iaitu Hari Kemahiran, Alpha Gen Talent dan I-Fest yang menghimpunkan kemahiran tradisional dan kreatif, bakat generasi muda serta seni dan warisan budaya masyarakat.
Beliau berkata, kemahiran dalam bidang masakan, jahitan, dandanan diri, seni tangan dan kreativiti digital bukan sahaja perlu dipelihara sebagai warisan, malah mempunyai nilai ekonomi yang boleh menjana pendapatan.
Suriani berkata, KEMAS juga terus memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat luar bandar sejak lebih enam dekad menerusi pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan kemahiran, keusahawanan dan pengukuhan institusi keluarga.
Menurutnya, usaha memperluaskan pendidikan inklusif melalui TABIKA Tunas Istimewa@KEMAS, Pra Tahfiz TABIKA KEMAS, Smart Classroom@KEMAS dan PELITA@KEMAS membuktikan komitmen KEMAS dalam menyesuaikan pendidikan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti, memperluaskan pasaran serta membangunkan perniagaan yang lebih berdaya saing, selaras usaha kerajaan memperkukuh modal insan dan peluang ekonomi rakyat luar bandar.
IMedikel TV






