Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV
KOTA BHARU : Persatuan Bekas Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kelantan (PBPSMK) akan terus memainkan peranan sebagai wadah menghimpunkan bekas pemimpin sekolah untuk menyumbang idea dan pengalaman kepada pembangunan pendidikan.
Yang Dipertua PBPSMK, Wan Sapei Wan Ahmad berkata, persatuan itu merupakan satu-satunya persatuan bekas pengetua yang masih aktif dan bertahan di Malaysia sehingga kini.

“Keunikan ini terhasil melalui hubungan baik yang berterusan antara bekas pengetua dengan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Kelantan sejak penubuhannya.
“PBPSMK kini mempunyai seramai 347 ahli yang terdiri daripada bekas pengetua sekolah menengah di seluruh Kelantan,” katanya selepas Majlis Jamuan Amal Jubli Perak 2026, Persatuan Bekas Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Kelantan Bersama Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (MPSM) Kelantan di sini, semalam.
Beliau berkata, ahli-ahli persatuan memiliki pelbagai pengalaman dan kemahiran hasil penglibatan mereka dalam kepimpinan pendidikan sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sedikit perbezaan dari segi pendedahan terhadap dasar pendidikan semasa antara ahli yang telah lama bersara dengan ahli yang baru menamatkan perkhidmatan.

“Bagi ahli yang baru bersara, mereka lebih dekat dengan pelaksanaan rancangan pendidikan semasa dan boleh menyumbang idea berkaitan cabaran pendidikan masa kini termasuk Bahasa Inggeris dan Matematik,” katanya.
Wan Sapei berkata, walaupun kebanyakan bekas pengetua lebih berpengalaman dalam aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah, kepakaran mereka masih relevan untuk dikongsi dengan generasi pemimpin sekolah hari ini.
Beliau turut menyambut baik gesaan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan supaya bekas pengetua terus menjadi rakan strategik dalam merealisasikan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia melalui perkongsian pengalaman dan pandangan profesional.
Menurutnya, PBPSMK juga aktif melaksanakan program kebajikan dan kemasyarakatan melalui kutipan dana tahunan, termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf. Tahun lalu, persatuan berjaya mengumpul RM12,000 yang diagihkan kepada daerah-daerah untuk membantu mereka yang memerlukan.
IMedikelTV






