Home Buletin Semasa JPSM GARIS HALA TUJU LIMA TAHUN, 75 PROGRAM BERSASAR PEMACU PENGURUSAN HUTAN...

JPSM GARIS HALA TUJU LIMA TAHUN, 75 PROGRAM BERSASAR PEMACU PENGURUSAN HUTAN LESTARI

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) membangunkan sembilan teras strategik, 26 strategi dan 75 program bersasar menerusi Pelan Strategik JPSM 2026–2030 bagi memperkukuh pengurusan serta pemeliharaan sumber hutan secara lestari.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Radhi Chu Abdullah, berkata pelan berkenaan akan diterjemahkan kepada tindakan yang jelas di setiap bahagian, negeri dan daerah supaya kemajuan pelaksanaannya dapat dipantau serta hasilnya dinilai.

Menurutnya, warga perhutanan perlu terus mempergiat usaha melindungi kawasan hutan, memulihkan ekosistem dan memperluas manfaat sumber hutan kepada rakyat, selain meningkatkan kecekapan kerja.

Katanya, usaha itu perlu disokong oleh aspek perundangan, integriti, kompetensi serta pembiayaan yang berterusan.

Beliau berkata, sektor perhutanan di Semenanjung Malaysia mengalami perubahan penting sejajar dengan keperluan semasa dalam pembangunan dan pengurusan hutan secara lestari.

Menurutnya, pengurusan hutan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada pengeluaran kayu-kayan kini diperluaskan merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan sumber hutan, termasuk pembekalan air mentah yang bersih, pemeliharaan kepelbagaian biologi, penjagaan kualiti alam sekitar, pengawalan banjir dan perubahan iklim.

“Bagi menyesuaikan pengurusan hutan dengan keperluan tersebut, Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia (DPSM) digubal berasaskan kajian semula Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992), yang mengandungi 10 objektif, sembilan teras utama, 27 strategi dan 125 pelan tindakan.

“Dasar ini menyediakan kerangka pengurusan sumber hutan secara berkekalan, manakala Pelan Strategik JPSM 2026–2030 memperincikan hala tuju pelaksanaan jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JPSM, Datuk Roslan Rani, dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Grippin Akeng.

Simposium berkenaan disertai lebih 200 peserta dengan 20 kertas kerja dibentangkan oleh mereka yang terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Radhi berkata keluasan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia sehingga tahun lalu ialah 5.76 juta hektar, bersamaan 43.3 peratus daripada keseluruhan keluasan Semenanjung Malaysia.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4.85 juta hektar atau 84 peratus kawasan berhutan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), meningkat 1,681 hektar berbanding 2024.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan terhadap pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan.

“Dalam usaha memperkukuh pengurusan hutan, sehingga kini seluas 4.14 juta hektar keseluruhan kawasan Hutan Simpanan Kekal telah memperoleh pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia, melibatkan tujuh Jabatan Perhutanan Negeri.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri dalam memastikan pengurusan serta pemeliharaan sumber hutan dilaksanakan secara mampan,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here