Home Buletin Semasa JALAN DINAIKI AIR, BOMBA USUNG JENAZAH SUSURI LANDASAN KERETA API

JALAN DINAIKI AIR, BOMBA USUNG JENAZAH SUSURI LANDASAN KERETA API

Gua Musang: Pasukan penyelamat terpaksa meredah perjalanan sejauh kira-kira dua kilometer menyusuri landasan kereta api bagi membawa jenazah seorang wanita dari Kampung Serian Batu 11 di sini, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Wanita berusia 50-an itu dipercayai meninggal dunia akibat masalah jantung, namun jenazahnya gagal dibawa keluar berikutan laluan utama ke kampung berkenaan ditenggelami air susulan hujan lebat malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Susulan itu katanya, empat anggota bomba bersama empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati satu-satunya alternatif untuk mengeluarkan mayat berkenaan adalah dengan berjalan menyusuri laluan landasan kereta api.

“Jarak dari lokasi kenderaan pacuan empat roda menunggu ke rumah wanita itu adalah sejauh dua kilometer dan perlu merentasi jambatan kereta api.

“Seramai 12 penduduk kampung turut membantu dan kami bergilir mengusung jenazah menggunakan pengusung sejauh dua kilometer,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Azrul Izzham berkata, jenazah kemudian dibawa ke Klinik Bertam sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan bagi tindakan dan pengesahan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 11.30 pagi.

“Alhamdulillah, operasi membawa keluar jenazah berjaya disempurnakan walaupun agak mencabar kerana terpaksa meniti jambatan kayu di sisi landasan kereta api.

“Bagaimanapun, kami kekal komited menggalas tanggungjawab yang diamanahkan demi membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya. – HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here