Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Dua lelaki tempatan ditahan manakala pil disyaki dadah jenis yaba seberat 53.2 gram bernilai RM5,320 dirampas dalam serbuan menerusi Op Tapis di sebuah rumah pondok di Dusun RKT Kesedar Meranto, di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kedua-dua suspek berusia 36 dan 39 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan sebuah beg silang berwarna oren yang mengandungi bekas besi serta beberapa bungkusan plastik berisi pil disyaki dadah berkenaan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Katanya semakan lanjut turut mendapati suspek berusia 39 tahun mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah, manakala seorang lagi berusia 36 tahun mempunyai satu rekod lampau bagi kesalahan sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya polis turut meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang dipercayai terbabit serta mengesan sumber bekalan dadah berkenaan.
IMedikel TV






