Home Buletin Semasa 14 PATI DITAHAN DALAM TIGA OPERASI APMM DI KELANTAN

14 PATI DITAHAN DALAM TIGA OPERASI APMM DI KELANTAN

Pasir Puteh: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi tiga operasi berasingan sepanjang minggu ini.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan itu membabitkan tiga warga Indonesia, 10 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh yang dipercayai memasuki negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Op Naga, Op Damai Laut, Op Lanta Merah dan Op Tiris bagi mengawal serta memantau aktiviti menyalahi undang-undang di perairan dan kawasan pesisir pantai Kelantan.

“Dalam operasi pertama pada 14 Oktober, Maritim Malaysia mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan mencurigakan bergerak laju menyusuri Kuala Tumpat kira-kira jam 6.15 pagi.

“Bot berkenaan berjaya meloloskan diri ketika aset Maritim Malaysia dan pasukan operasi darat digerakkan ke lokasi.

“Bagaimanapun, pencarian di sepanjang Sungai Tumpat membawa kepada penemuan sebuah bot yang sedang menurunkan penumpang di tebing sungai sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.

Katanya hasil pencarian di kawasan berhampiran menemukan tiga individu, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita dewasa, yang bersembunyi di dalam semak.

“Ketiga-tiganya ditahan kira-kira jam 7 pagi selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata dalam operasi kedua pada 19 Oktober lalu, Maritim Malaysia mengesan sebuah lagi bot mencurigakan bergerak laju menyusuri Sungai Kelantan kira-kira jam 10.05 malam.

“Pencarian bersama pasukan operasi darat diteruskan sehingga ke Kampung Ekor Pasir, Tendong, Pasir Mas, selepas bot berkenaan dikesan menurunkan sekumpulan individu sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata seramai 10 lelaki warga Myanmar ditemukan bersembunyi di kawasan semak berhampiran tebing sungai dan ditahan kira-kira jam 11.50 malam.

Sementara itu, katanya operasi ketiga iaitu semalam membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Bangladesh di kawasan jeti passr terapung (floating market) Kampung Pulau Pisang.

“Operasi bermula selepas pasukan darat mengesan sebuah bot bergerak perlahan menuju ke jeti berkenaan kira-kira jam 5.13 pagi.

“Tidak lama kemudian, dua buah kereta berhenti secara mengejut di hadapan jeti sebelum beberapa individu dilihat berlari dari jeti menuju ke kenderaan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kedua-dua kereta itu memecut meninggalkan lokasi secara agresif sehingga hampir melanggar anggota operasi.

“Seorang lelaki dipercayai tercampak keluar daripada salah sebuah kereta sebelum melarikan diri, manakala beberapa individu lain kembali menaiki bot yang kemudian meninggalkan jeti dalam keadaan bergelap.

“Pencarian seterusnya membawa kepada penemuan seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai warga Bangladesh dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurut Kamal, kesemua 14 tahanan berusia dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut mengikut undang-undang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here