Home Buletin Semasa AKTIVIS MEDIA SOSIAL DIINGATKAN JANGAN BERTINDAK SENDIRI ISU ROHINGYA – POLIS

AKTIVIS MEDIA SOSIAL DIINGATKAN JANGAN BERTINDAK SENDIRI ISU ROHINGYA – POLIS

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengingatkan aktivis media sosial supaya memahami undang-undang dan bukan bertindak sendiri dalam isu etnik Rohinga di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, isu pelarian Rohingya bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, bukannya tindakan berdasarkan emosi semata-mata.

“Bukan senang nak halau mereka. Dia nak halau macam mana? Myanmar tak nak terima dia. Bangladesh tak mengiktiraf dia sebagai rakyat mereka,” katanya ketika mengulas isu berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa isu berkenaan perlu ditangani dengan memahami keadaan sebenar di lapangan, termasuk aspek keselamatan dan kawalan pihak berkuasa.

Mengulas mengenai aktiviti yang dianjurkan baru-baru ini berkenaan etnik Rohingya, beliau berkata, penganjur perlu bertanggungjawab terhadap aktiviti yang dirancang, khususnya apabila membabitkan hebahan di media sosial menyebabkan kehadiran orang ramai di luar jangkaan.

“Keadaan boleh menjadi sukar dikawal apabila jumlah kehadiran meningkat, sedangkan penganjur tidak lagi mampu mengawal tindakan semua individu yang hadir,” katanya.

Beliau berkata, tindakan siasatan juga perlu dilihat berdasarkan laporan polis dan bukti yang diperoleh, termasuk sekiranya terdapat dakwaan berhubung kejadian jenayah yang berlaku.

“Kalau ada laporan polis, kita wajib siasat. Itu sahaja,” katanya.

Beliau menegaskan, siasatan dan tindakan pihak polis adalah sebahagian daripada proses biasa bagi membantu melengkapkan kertas siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here