Home Luar Negara KEJAR ANJING LARIKAN SELIPAR, BUDAK TERSESAK DI HUTAN

KEJAR ANJING LARIKAN SELIPAR, BUDAK TERSESAK DI HUTAN

Bangkok: Tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengejar anjing yang melarikan selipar birunya dipercayai menyebabkan dia tersesat di kawasan hutan sebelum ditemukan kira-kira 30 kilometer (km) dari lokasi asal di Thailand, lapor Thaiger.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Kanak-kanak itu ditemukan masih hidup di wilayah Mukdahan berhampiran sempadan Laos, pada 19 Oktober selepas operasi mencari selama lebih 29 jam.

Dia dilaporkan hilang pada petang 18 Oktober ketika menemani datuk dan neneknya ke sawah padi mereka di daerah Khao Wong, wilayah Kalasin.

Menurut datuknya, seekor anjing mengambil salah satu selipar biru cucunya lalu melarikan diri, menyebabkan kanak-kanak itu mengejar haiwan berkenaan untuk mendapatkan semula seliparnya.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu kemudian hilang arah dan merayau ke kawasan hutan sebelum terus berjalan sehingga tiba di sebuah anak sungai.

Lebih 200 anggota polis, petugas penyelamat, pegawai tempatan dan sukarelawan menyertai operasi mencari dengan menyisir kawasan pertanian serta kawasan sekitarnya sepanjang malam.

Menurut media tempatan, operasi itu berakhir kira-kira jam 6.30 petang pada 19 Oktober apabila penduduk kampung menemukannya berhampiran anak sungai di daerah Dong Luang, Mukdahan.

Penduduk yang sedang memancing di kawasan itu terserempak dengan kanak-kanak berkenaan yang bersendirian sebelum dia memberitahu bahawa dirinya sesat dan lapar.

Mereka kemudian memberikan makanan dan air sebelum membawanya ke rumah seorang pegawai kampung.

Petugas penyelamat menghantar gambar kanak-kanak itu kepada pasukan pencari di Kalasin bagi membolehkan keluarganya mengesahkan identitinya.

Datuknya kemudian pergi bersama petugas penyelamat untuk mengambil cucunya sebelum kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Khao Wong bagi menjalani pemeriksaan fizikal dan menerima rawatan lanjut kerana keletihan serta ketakutan.

Sementara itu, polis masih menyiasat bagaimana kanak-kanak itu sampai ke Mukdahan, termasuk laluan yang dilaluinya dan sama ada dia berjalan kaki sepanjang jarak kira-kira 30 km.

Hasil pemeriksaan perubatan dan siasatan lanjut dijangka membantu pihak berkuasa menjelaskan pergerakan kanak-kanak itu ketika hilang.-AGENSI, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here