Home Buletin Semasa ADUAN JIPS MENINGKAT KEPADA 330 KES

ADUAN JIPS MENINGKAT KEPADA 330 KES

Oleh Wartawan IMedikel TV

KOTA BHARU: Jumlah aduan yang direkodkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) meningkat kepada 330 pada 2026 berbanding 224 pada 2025, sekali gus menuntut perhatian serius terhadap aspek integriti dan disiplin dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, Berkata berdasarkan statistik JIPS, jumlah Kertas Siasatan Tatatertib (KST) kekal sebanyak 75 kes bagi kedua-dua tahun, manakala Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) menunjukkan penurunan daripada 24 kes pada 2025 kepada 11 kes pada 2026.

“Perkembangan itu menjadi peringatan kepada seluruh warga pasukan supaya sentiasa mematuhi peraturan, menjaga disiplin serta mengamalkan integriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata JIPS diminta terus memperkukuh pemantauan, memastikan setiap aduan ditangani secara profesional dan adil, selain meningkatkan usaha pencegahan bagi memastikan setiap pegawai dan anggota berpegang teguh pada etika perkhidmatan.

“Integriti bukan pilihan, disiplin bukan beban dan akauntabiliti bukan sekadar prosedur,” menurut kenyataan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa pangkat memberikan kuasa, namun integriti mencerminkan kewibawaan serta maruah seseorang anggota.

“Sehelai benang hitam mampu mencacatkan tenunan putih, begitu juga salah laku seorang pegawai atau anggota, ia mampu membayangi jasa dan pengorbanan ribuan warga pasukan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here