Liverpool: Rio Ngumoha membuktikan dirinya antara prospek muda paling menyerlah Liverpool apabila mencipta dua bantuan jaringan untuk membantu The Reds bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Villarreal 4-3 dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Pemain berusia 18 tahun itu menjadi pencetus kebangkitan dramatik Liverpool dalam perlawanan penuh debaran, sekali gus menunjukkan kematangannya ketika pasukan kendalian Arne Slot memerlukan inspirasi untuk mengubah keadaan.
“Secara individu, saya rasa saya menikmati perlawanan malam ini. Apabila semakin matang, kemampuan mempengaruhi permainan menjadi sangat penting.
“Hari ini, saya menghasilkan dua bantuan jaringan dan membantu pasukan meraih tiga mata. Tiada apa lagi yang boleh saya minta,” katanya.
Ngumoha turut mencipta sejarah apabila menjadi pemain termuda Liverpool menghasilkan bantuan jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara.
“Ini kelab terbesar di dunia dan mencipta rekod itu sesuatu yang istimewa buat saya. Jadi, saya akan menerimanya dengan bangga,” katanya.
Dia membuktikan kemampuannya di pentas besar apabila menghasilkan hantaran lambung menarik untuk Ronald Araujo menyamakan kedudukan menjelang tamat babak pertama, selepas Alexis Mac Allister terlebih dahulu merapatkan jurang buat Liverpool.
Jika bantuan jaringan pertama itu memperlihatkan ketenangannya, aksi selepas rehat pula menyerlahkan potensi besar pemain muda berkenaan.
Ngumoha memperdaya Sergi Cardona sebelum melakukan hantaran tepat untuk Mac Allister menyudahkan peluang dari jarak dekat, sekali gus meletakkan Liverpool di depan buat kali pertama dalam perlawanan itu.
Penyokong di Anfield yang sebelum itu menyaksikan Liverpool melakukan kesilapan demi kesilapan dalam 30 minit pertama, akhirnya menyaksikan pemain berusia 18 tahun itu mengambil alih pentas menerusi aksi penuh keyakinan.
Bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge, turut memuji kualiti Ngumoha ketika mengulas perlawanan menerusi siaran Amazon Prime.
“Pemain ini mempunyai kualiti yang sangat tinggi ketika menguasai bola. Itu sesuatu yang tidak boleh diajar. Apa yang dilakukannya dengan bola di kaki adalah bakat semula jadi,” katanya.
Florian Wirtz kemudian menambah gol keempat Liverpool, sekali gus meledak jaringan pertamanya bersama kelab itu musim ini.
Bagaimanapun, jaringan lewat Tani Oluwaseyi memastikan Liverpool terpaksa mengharungi penghujung perlawanan yang mendebarkan sebelum mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Eropah.
Ngumoha sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menjadi penjaring termuda Liverpool di Anfield dalam Liga Perdana Inggeris pada April lalu, ketika berusia 17 tahun.
Dia juga pernah muncul penjaring termuda kelab itu menerusi gol ketika menentang Newcastle pada Ogos 2025, ketika berusia 16 tahun.
Namun, di sebalik aksi penuh dramatik yang menyaksikan tujuh gol dihasilkan, Ngumoha menjadi antara watak paling mencuri perhatian apabila penyokong meraikan kemenangan sebaik wisel penamat dibunyikan, diiringi lagu “Rio” nyanyian Duran Duran yang berkumandang di seluruh stadium.-AGENSI, HMetro Online-
IMedikel TV






