London: Cristiano Ronaldo memperoleh pendapatan dua kali ganda berbanding seteru utamanya, Lionel Messi selepas senarai pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia diumumkan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Bintang Al-Nassr itu dilaporkan meraih kira-kira £488,000 (RM2.66 juta) sehari menerusi kontrak lumayannya bersama kelab Arab Saudi berkenaan.
Jumlah itu membolehkan Ronaldo menduduki tangga teratas senarai pemain bola sepak berpendapatan tertinggi dunia.
Menurut senarai Forbes, Ronaldo dianggarkan memperoleh sekitar £225 juta (RM1.22 bilion) semusim, merangkumi £187 juta (RM1.02 bilion) daripada Al-Nassr dan £37 juta (RM201 juta) menerusi urusan komersial.
Pendapatan luar biasa itu lebih dua kali ganda berbanding Messi yang meraih kira-kira £108 juta (RM589 juta) semusim.
Kontrak Messi bersama kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, memberikannya sekitar £52 juta (RM283 juta) setahun, manakala pendapatan daripada penajaan dan urusan komersial menyumbang tambahan £56 juta (RM305 juta).
Ronaldo dan Messi yang bersaing merebut gelaran pemain terbaik dunia selama lebih sedekad, menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan £706 juta (RM3.85 bilion) pendapatan gabungan 10 pemain paling lumayan itu.
Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, menduduki tempat ketiga dengan pendapatan sekitar £75 juta (RM409 juta) setahun selepas menamatkan kontrak tahunannya bernilai £15 juta (RM81 juta) bersama Nike.
Penyerang Manchester City, Erling Haaland, berada di tangga keempat dengan pendapatan £64 juta (RM349 juta) setahun, termasuk hasil kerjasama komersial dengan syarikat seperti Revolut dan Nike.
Melengkapkan kelompok lima teratas ialah bintang Real Madrid, Vinicius Jr, yang memperoleh sekitar £56 juta (RM305 juta) setahun selepas menandatangani kontrak baharu bernilai £25 juta (RM136 juta) semusim bersama kelab itu.
Kontrak lumayan Lamine Yamal bersama Barcelona yang dimeterai tahun lalu turut menyumbang kepada kedudukannya di tangga keenam.
Pemain muda Sepanyol itu memperoleh kira-kira £41 juta (RM223juta) setahun selepas bersetuju dengan kontrak bernilai £33.5 juta (RM182 juta) semusim bersama gergasi Catalan berkenaan.
Walaupun hanya menjaringkan satu gol pada Piala Dunia, Yamal membantu Sepanyol menjuarai kejohanan itu. Popularitinya yang semakin meningkat turut membolehkannya menjalin kerjasama dengan jenama fesyen American Eagle.
Yamal diikuti penyerang Al-Nassr yang juga bekas bintang Liverpool, Sadio Mane, dengan pendapatan £40 juta (RM218 juta), manakala Jude Bellingham berada di tangga kelapan dengan £34 juta (RM185 juta) setahun.
Bellingham semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara nama besar dalam bola sepak, di dalam dan luar padang, selepas persembahannya bersama England pada Piala Dunia.
Pendapatannya turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan Adidas serta jenama fesyen Louis Vuitton dan Skims.
Di tangga kesembilan dan buat kali pertama tersenarai ialah kapten England yang juga penyerang Bayern Munich, Harry Kane.
Kane memperoleh kira-kira £32 juta (RM174 juta) setahun hasil kontrak bernilai £400,000 (RM2.18 juta) seminggu bersama kelab Jerman itu serta kerjasama komersial dengan syarikat seperti Skechers dan Google Gemini.
Legenda Liverpool, Mohamed Salah, melengkapkan kelompok 10 pemain berpendapatan tertinggi dengan kira-kira £30 juta (RM163 juta) setahun selepas menandatangani kontrak lumayan selama dua tahun bersama Trabzonspor yang bernilai £363,000 (RM1.98 juta) seminggu.
Salah meninggalkan Anfield pada musim panas lalu, sekali gus menjadikan Haaland satu-satunya wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam senarai berkenaan.
Bagaimanapun, kemasukan Bellingham dan Kane menyaksikan England mempunyai dua pemain dalam kelompok 10 teratas buat kali pertama sejak Wayne Rooney dan David Beckham pada 2013.
Nama besar yang tidak tersenarai ialah bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzema.
Penyerang legenda itu memperoleh £78 juta (RM425 juta) musim lalu sebelum menamatkan kontraknya bersama Al-Hilal dan kini berstatus ejen bebas.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






