Kathmandu: Polis di Nepal giat mengesan warga tempatan yang disyaki menjadi rakan subahat dalam rangkaian penyeludupan selepas merampas 21.75 kilogram emas di sebuah rumah di Budhanilkantha, awal bulan ini.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Premis berkenaan dipercayai digunakan tiga lelaki warga China sebagai pusat pemprosesan emas.
Memetik laporan Asia News Network, pejabat Siasatan Jenayah Lembah Kathmandu memulakan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang membantu menyimpan, mengedar atau mengangkut emas berkenaan ke India.
Senior Superintenden Polis Santosh Khadka berkata, pihak berkuasa masih belum mengesahkan pembabitan warga Nepal dalam kes berkenaan.
“Tiga suspek warga China itu tidak banyak memberikan kerjasama dalam siasatan. Namun, kami sudah menghantar peranti digital yang dirampas ke makmal forensik untuk mendapatkan maklumat lanjut
“Kami juga sedang menyiasat aspek lain,” katanya.
Polis menyoal siasat ketiga-tiga suspek dengan bantuan jurubahasa, namun mereka hanya menjawab beberapa soalan.
Pegawai penyiasat kini meneliti senarai kenalan suspek, peranti digital dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), termasuk di kawasan tempat letak kenderaan lapangan terbang.
Setakat ini, polis masih belum dapat mengenal pasti sumber bekalan emas itu atau cara ia dibawa masuk ke Nepal yang menjadi antara fokus utama siasatan.
Pihak penyiasat percaya rangkaian tempatan diperlukan untuk menyimpan dan mengedar emas seludup sebelum menghantarnya merentasi sempadan ke India. Mereka juga tidak menolak kemungkinan pembabitan warga India.
Bekas Penolong Ketua Pesuruhjaya Polis, Basanta Lama yang pernah menganggotai jawatankuasa siasatan emas peringkat tinggi pada 2017 berkata, pembabitan warga tempatan dalam kegiatan itu kemungkinan berlaku.
“Sekiranya warga China itu membawa masuk emas ke Nepal sendiri, mereka tetap memerlukan bantuan warga tempatan untuk menghantarnya ke India,” katanya. -AGENSI, HMetro Online-
IMedikel TV






