Home Buletin Semasa JEREBU BERLARUTAN, GOLONGAN BERISIKO JANGAN AMBIL MUDAH

JEREBU BERLARUTAN, GOLONGAN BERISIKO JANGAN AMBIL MUDAH

JOHOR BAHRU: Pendedahan berterusan kepada udara tercemar bukan sahaja boleh memburukkan gejala penyakit sedia ada, malah berpotensi mencetuskan kesihatan organ dalaman yang serius.

Pakar Perubatan Dalaman Hospital KPJ Bandar Dato’ Onn, Dr Ahmad Adli Jamaludin berkata, orang ramai perlu mengambil serius bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), terutama apabila bacaan mencapai tahap tidak sihat, iaitu 101 dan ke atas.

Katanya perhatian tinggi juga harus diberikan terutama kepada golongan berisiko tinggi melibatkan kanak-kanak, warga emas, individu dengan penyakit jantung dan paru-paru.

“Sesetengah individu mungkin mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada tanpa menyedarinya. Contohnya, mereka yang mengalami masalah sinus atau resdung mungkin mendapati gejala menjadi lebih teruk apabila terdedah kepada jerebu.

“Bagi pesakit asma pula, walaupun keadaan mereka sebelum ini stabil dan terkawal, pendedahan berterusan kepada jerebu masih boleh mencetuskan serangan asma yang serius dan dalam keadaan tertentu, sehingga boleh mengancam keupayaan organ pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meneruskan aktiviti fizikal di luar rumah apabila bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, terutama ketika bacaan semakin meningkat.

“Aktiviti seperti berjoging, berbasikal dan bersukan di kawasan terbuka boleh meningkatkan pendedahan kepada udara tercemar, lebih-lebih lagi apabila ianya dilakukan dalam tempoh yang panjang atau melibatkan aktiviti fizikal berintensiti tinggi.

“Sebagai alternatif, orang ramai boleh meneruskan rutin senaman di dalam rumah atau di kawasan tertutup dengan pengudaraan dan kualiti udara yang baik.

“Jika ingin berjoging, mereka boleh menggunakan treadmill di dalam rumah atau memilih aktiviti fizikal lain yang sesuai dilakukan di ruang tertutup,” katanya.

Dr Ahmad Adli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap diri mereka bebas daripada risiko hanya kerana tidak pernah mengalami masalah pernafasan sebelum ini.

“Ini kerana pendedahan kepada jerebu boleh memburukkan keadaan kesihatan yang sedia ada dan mencetuskan gejala yang sebelum ini tidak ketara,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here