Kuala Lumpur: Hasrat pemain boling wanita negara Natasha Mohamed Roslan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) tidak kesampaian selepas tewas pada aksi final edisi 2026 di Munich, Jerman, pada Ahad.
Memetik laporan Bernama melalui Harian Metro, Natasha terpaksa akur kepada pemain Perancis Manon Clement 1-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Max Munich Bowling, Brunnthal.
Pemain berusia 28 tahun itu memberikan tentangan sengit namun tewas pada perlawanan pertama dengan 198-231 sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 286-147 pada perlawanan kedua.
Bagaimanapun, Natasha gagal meneruskan momentum pada permainan penentuan apabila tewas 168-204, sekali gus terlepas peluang mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lepas.
Pada edisi lepas di Kowloon, Hong Kong, Natasha mencipta sejarah sebagai pemain boling wanita Malaysia pertama menjuarai Piala Dunia IBF.
Kejayaan bersejarah itu diraih selepas beliau menewaskan wakil Jerman Birgit Noreiks 217-166, 226-169 pada aksi final. – BERNAMA,HMETRO –
IMedikelTV






