Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Sepasang suami isteri merayu ihsan orang ramai membantu mengumpul dana RM105,000 bagi membolehkan anak tunggal mereka, Nur Anis Zulaikha Mohd Shafizuan, 7, menjalani pembedahan jantung yang perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Kanak-kanak itu yang dilahirkan dengan penyakit jantung serius sehingga menyebabkan tubuhnya kekurangan oksigen berdepan risiko kegagalan jantung sekiranya pembedahan berkenaan tidak dapat dilaksanakan.
Bapanya, Mohd Shafizuan Rodzi, 31, berkata, mereka terpaksa mengetepikan rasa malu dan merayu bantuan orang ramai selepas tidak mampu menyediakan keseluruhan kos pembedahan yang dianggarkan mencecah RM120,000.
Katanya, hasil segala usaha yang dilakukan, mereka hanya berjaya mengumpulkan RM14,500 dan kini memerlukan baki RM105,000 bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan berkenaan.

“Justeru, kami terpaksa memohon bantuan orang ramai bagi menampung baki kos pembedahan itu demi menyelamatkan nyawa anak tunggal kami,” katanya ketika memohon Pertubuhan Kebajikan One Hope Charity and Welfare di Bukit Mertajam, di sini melaksanakan kutipan dana bagi membantu anaknya.
Mohd Shafizuan berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit itu sebaik dilahirkan apabila doktor mengesahkan dia mengalami beberapa kecacatan pada jantung sejak lahir yang menyebabkan bekalan oksigen ke seluruh tubuh tidak mencukupi sehingga kulitnya bertukar kebiruan.
“Anak saya dilahirkan normal, tetapi tubuhnya menjadi kebiruan semasa kali pertama menyusu dan segera diberi bantuan oksigen ketika itu.
“Disebabkan keadaan jantungnya yang tidak normal, dia telah menjalani pembedahan secara berperingkat bagi membantu memperbaiki aliran darah antara jantung dan paru-paru supaya tubuhnya menerima bekalan oksigen yang lebih baik.
“Dua pembedahan peringkat pertama itu telah dijalankan ketika selepas dia lahir dan semasa berusia setahun.
“Kini doktor memaklumkan anak saya perlu menjalani pembedahan peringkat ketiga iaitu prosedur Fontan bagi membantu memperbaiki aliran darah supaya bekalan oksigen ke seluruh tubuh mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati membantu mengumpul dana untuk kanak-kanak dari Gurun, Kedah itu selepas dua pembedahan sebelum ini turut menerima bantuan daripada pertubuhan berkenaan.
Katanya, bapa Nur Anis Zulaikha bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan sederhana, manakala ibunya, Nor Syamimi Abu Hassan, 31, ialah suri rumah.
“Selepas pihak kami meneliti permohonan keluarga itu, kita memutuskan untuk mengadakan kutipan dana RM105,000 bagi Nur Anis Zulaikha,” katanya.
Sementara itu, Sui Hau berkata, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435) atau layari onehopecharity.org.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.
IMedikel TV






