Home Buletin Semasa 10.9 PERATUS KANAK-KANAK DI KELANTAN BANTUT, SARINGAN AWAL PERLU DIPERTINGKAT

10.9 PERATUS KANAK-KANAK DI KELANTAN BANTUT, SARINGAN AWAL PERLU DIPERTINGKAT

KOTA BHARU: Dianggarkan 10.9 peratus kanak-kanak di Kelantan mengalami masalah bantut, sekali gus menekankan kepentingan saringan tumbesaran secara berkala bagi membolehkan intervensi dilakukan lebih awal.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Kasuadi Hussin berkata, masalah bantut boleh berkait dengan faktor pemakanan, termasuk pengambilan nutrisi yang tidak mencukupi.

Menurutnya, ibu bapa disaran membawa anak menjalani saringan kesihatan setiap tahun bermula seawal usia dua tahun bagi mengesan masalah tumbesaran sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Sekarang ini ibu bapa tidak membawa anak mereka untuk saringan, jadi mereka tidak tahu anak sudah mula mengalami masalah bantut.

“Apabila saringan dilakukan, ibu bapa boleh mengambil tindakan dengan menyediakan makanan yang lebih sesuai untuk anak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Sambutan Hari Kesihatan Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026, di sini.

Dr Kasuadi berkata, saringan dan tindakan pembetulan perlu diteruskan sehingga kanak-kanak berusia tujuh tahun, iaitu sebelum memasuki alam persekolahan, bagi membantu mereka mencapai perkembangan fizikal dan pembelajaran yang lebih baik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Karnival Bulan Malaysia Sihat Sejahtera turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, usaha itu merangkumi enam teras utama iaitu aktiviti fizikal, pemakanan sihat, kesihatan mental, mengelakkan rokok dan amalan berisiko, saringan kesihatan kendiri serta kebersihan persekitaran.

Beliau menggalakkan orang ramai mengamalkan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki dan senamrobik, memilih makanan berkhasiat serta menjaga kesihatan mental bagi mengurangkan risiko penyakit.

Selain itu, masyarakat turut disaran menjalani saringan bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, selain memastikan persekitaran sentiasa bersih.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here