Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seramai 11 pasangan menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai Program Anggun Suri Parlimen Kuantan Inisiatif Kerajaan Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu, di sini, kelmarin.
Perkahwinan secara beramai-ramai itu antara usaha kerajaan negeri untuk membantu meringatkan beban kewangan ditanggung setiap pasangan terdiri daripada anak Pahang dan golongan B40.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, berkata program yang diadakan mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat memulakan kehidupan berkeluarga.
Menurutnya, lebih banyak program perkahwinan beramai-ramai diadakan pada masa akan datang membabitkan setiap parlimen di negeri ini, sekali hingga dua kali setahun diadakan program berkenaan sekiranya mendapat sambutan daripada masyarakat.
“Selepas selesai menyertai kursus perkahwinan anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pasangan yang berminat menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai boleh terus mendaftar dengan Majlis Pembangunan Wanita di parlimen tempat tinggal mereka.
“Program Anggun Suri merupakan inisiatif kerajaan Pahang bagi membantu pasangan pengantin meraikan hari bahagia melalui program perkahwinan beramai-ramai,” katanya.

Pada program perkahwinan beramai-ramai Anggun Suri Parlimen Kuantan Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu menjadi lokasi acara akad nikah, sekali gus menyediakan ruang yang penuh keberkatan bagi pasangan pengantin memulakan perjalanan baharu dalam kehidupan berumah tangga.
Beliau menambah, bagi pihak kerajaan negeri dia mengucapkan tahniah pada setiap pasangan pengantin, semoga ikatan yang dibina dikurniakan sakinah dan mawaddah wa rahmah serta sentiasa dilimpahi kebahagiaan, keharmonian dan keberkatan hingga ke syurga.
“Hari ini untuk mengadakan majlis perkahwinan memerlukan perbelanjaan besar hingga mencecah antara RM10,000 hingga RM50,000 mengikut jumlah jemputan dan hidangan disediakan termasuk tempat majlis diadakan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya menerusi majlis perkahwinan beramai-ramai Program Anggun Suri pasangan tidak dikenakan sebarang bayaran, cuma pengantin lelaki perlu sediakan mas kahwin sahaja.
Sabariah berkata, pasangan pengantin yang berkahwin kali pertama layak menerima Insentif Perkahwinan Kali Pertama sebanyak RM300 daripada kerajaan Pahang melalui Inisiatif Makmur Pahang.
IMedikel TV






