Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kementerian Komunikasi akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperluas penggunaan rangkaian 5G di pelabuhan utama seluruh negara ini, selain meneliti usaha meningkatkan liputan internet di sepanjang laluan rel.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu penting bagi menyokong penggunaan teknologi 5G dalam sektor pengangkutan dan logistik, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan di kawasan ekonomi strategik.
Menurutnya, satu nota akan disediakan untuk diusulkan kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan perancangan serta kerjasama antara kedua-dua kementerian itu diteliti.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan berhubung peluasan pelaksanaan rangkaian 5G di pelabuhan.
“Sebelum ini Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut membantu menyelesaikan masalah internet di laluan utama seperti rel.
“Kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan di sepanjang laluan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari utara hingga selatan Semenanjung yang masih tidak mempunyai liputan internet yang memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penang Port Private 5G di Wharf N2, Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Malaysia turut mencadangkan semakan terhadap metrik antarabangsa liputan kawasan berpenduduk (Coverage of Populated Areas – CoPA) bagi membolehkan kawasan ekonomi strategik diambil kira dalam pengukuran liputan telekomunikasi.
Katanya, cadangan itu akan dibawa untuk penelitian pada forum Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Doha, Qatar, November depan.
Menurutnya, ukuran sedia ada lebih tertumpu kepada kawasan berpenduduk, sedangkan kawasan seperti pelabuhan, laluan rel dan lebuh raya utama turut memerlukan kesalinghubungan berprestasi tinggi bagi menyokong penggunaan teknologi 5G.
“Saya akan meminta kementerian dan MCMC meneliti sama ada wajar kita mencadangkan supaya ukuran ini diperluaskan, bukan sekadar meliputi kawasan berpenduduk, tetapi juga kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi penting,” katanya.
Mengulas pelaksanaan rangkaian persendirian 5G di Pelabuhan Pulau Pinang, beliau berkata teknologi itu berpotensi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi dan memperkukuh aspek keselamatan.
Katanya antara aplikasi yang boleh dimanfaatkan termasuk penggunaan jentera berat yang dikawal dari jauh, sistem komunikasi digital serta robot pengawasan.
Fahmi berkata, teknologi sama wajar diperluaskan ke pelabuhan lain yang dikendalikan MMC Port Holdings Bhd (MMC Ports) bagi mempercepat transformasi digital sektor logistik negara.
IMedikel TV






