Home Buletin Semasa 190 WARGA ASING DICEKUP DI PUSAT HIBURAN

190 WARGA ASING DICEKUP DI PUSAT HIBURAN

KUALA LUMPUR: Seramai 190 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di sekitar Kampung Pandan, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JIM, Datuk Basri Othman berkata, operasi yang bermula jam 4 pagi itu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JIM dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, seramai 107 pegawai pelbagai pangkat terbabit dalam operasi berkenaan yang dijalankan hasil maklumat mengenai aktiviti warga asing di premis terbabit.

“Sepanjang operasi, seramai 235 warga asing diperiksa sebelum 190 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 99 lelaki dan 91 perempuan warga Indonesia, Bangladesh serta India berusia antara 20 hingga 41 tahun,” katanya menerusi laman rasmi hari ini.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua mereka kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Basri berkata, JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas yang dikeluarkan.

Katanya, tindakan turut akan diambil terhadap majikan atau mana-mana pihak yang didapati menggaji, melindungi atau bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here