Home Buletin Semasa POLIS GEMPUR RUMAH DIJADIKAN MAKMAL DADAH, RAMPASAN BERNILAI RM18.19 JUTA

POLIS GEMPUR RUMAH DIJADIKAN MAKMAL DADAH, RAMPASAN BERNILAI RM18.19 JUTA

JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket memproses dadah terbongkar selepas polis menyerbu dua lokasi di sekitar daerah ini pada 1 Oktober lalu, sekali gus membawa kepada penahanan tiga individu berusia antara 17 hingga 22 tahun.

Serbuan di Taman Megah Ria, Masai dan sekitar Jalan Permas itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM18.19 juta, termasuk lebih 106 kilogram (kg) serbuk MDMA.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis turut menemukan peralatan serta bahan prekursor yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Katanya operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seri Alam, yang membongkar kegiatan sindiket yang menjadikan rumah kediaman sebagai lokasi pemprosesan bahan terlarang itu.

“Serbuan pertama di Taman Megah Ria, Masai membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang gadis bawah umur sebelum pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah serta peralatan memproses bahan terlarang berkenaan.

“Antara rampasan utama ialah 101.64kg serbuk MDMA, 14 liter cecair MDMA, 122.14 gram serbuk ekstasi dan 30 biji pil Erimin 5.

“Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di sekitar Jalan Permas dan merampas tambahan 5.2kg serbuk MDMA, 23 liter cecair ganja serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Jumlah keseluruhan dadah serta peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM18.19 juta dan mampu memudaratkan kira-kira 426,000 pengguna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan menjadikan rumah kedai sebagai stor penyimpanan bahan prekursor dan peralatan memproses dadah.

Beliau berkata, rumah teres pula digunakan sebagai lokasi pemprosesan sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran tempatan.

“Polis percaya sindiket ini baharu sahaja beroperasi dan berdasarkan siasatan awal, dadah yang dihasilkan belum dipasarkan. Kilang baru nak beroperasi (setup), polis dah serbu.

“Sindiket ini tidak sempat membawa masuk ahli kimia dari luar negara. Jadi, mereka tidak sempat memproses serta memasarkan dadah.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala pemeriksaan rekod mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya suspek pertama dipercayai berperanan sebagai penyelaras sindiket, manakala seorang lagi lelaki bertanggungjawab menguruskan logistik serta penyewaan premis.

“Gadis berusia 17 tahun pula adalah teman wanita kepada suspek pertama,” katanya.

Dalam operasi sama, Hussein berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan Toyota Hilux yang dianggarkan bernilai RM105,900 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kesemua suspek telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 12 Oktober lalu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here