Home Buletin Semasa 4 LELAKI DITAHAN DISYAKI CETUS KEBAKARAN HUTAN SIMPAN PEKAN

4 LELAKI DITAHAN DISYAKI CETUS KEBAKARAN HUTAN SIMPAN PEKAN

PEKAN: Empat individu termasuk seorang warga emas ditahan selepas dipercayai menyebabkan berlakunya kebakaran berskala besar Hutan Simpan (HS) Pekan, dekat sini.

Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata lelaki yang ditahan berumur antara 27 hingga 60 tahun adalah pekebun nanas di Kampung Baru Cendewasih, di sini.

Katanya, empat individu terbabit ditahan pada Isnin lalu bagi mendapat keterangan berhubung kejadian kebakaran hutan paya gambut yang terletak bersebelahan dengan kawasan penempatan mereka. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurutnya, mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecuaian dengan api atau bahan mudah terbakar.

“Penduduk termasuk pekebun nanas di Kampung Baru Cendewasih diingatkan agar tidak melakukan pambakaran secara terbuka bagi mengelak kejadian kebakaran dalam kawasan paya gambut Hutan Simpan Pekan yang hampir setiap tahun terbakar.

“Pihak polis tidak berkompromi dan akan ambil tindakkan tegas sekiranya menerima laporan perbuatan membakar kawasan hutan dilakukan oleh individu,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pekebun nanas di Kampung Baru Cendewasih yang ingin membersih kebun mereka diingatkan supaya tidak menggunakan kaedah membakar kerana cara berkenaan boleh menyebabkan berlaku kebakaran hutan terutama ketika itu berlaku angin kencang yang menyebabkan bunga api terbang.

Mohd Zaidi berkata, cuaca panas dan berangin kencang turut menyebabkan kejadian kebakaran mudah berlaku di kawasan paya gambut di daerah ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Harry Yong, berkata kejadian kebakaran Hutan Simpan Pekan mula berlaku minggu lalu menyebabkan kemusnahan kawasan paya gambut seluas lebih 80 hektar.

Pihaknya mengambil inisiatif membina dua parit sepanjang kira-kira 1,500 meter sebagai usaha menghalang api daripada terus merebak lebih luas ke dalam kawasan hutan simpan berkenaan.

“Difahamkan hujan lebat kelmarin berjaya membantu memadam kebakaran, namun pemantauan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih tetap dilakukan setiap hari.

“Kali terakhir kebakaran besar di Hutan Simpan Pekan berlaku dua tahun lalu hingga menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter untuk memadam api,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here