Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Seluas kira-kira 80 hektar kawasan paya gambut terletak dalam Hutan Simpan Pekan, dekat sini musnah terbakar sejak minggu lalu.
Operasi memadam dan mengawal kebakaran daripada terus merebak kini dilakukan dengan kerjasama empat agensi diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Harry Yong, berkata seramai 40 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Bomba Komuniti FERT Enggang (Pekan) Sdn Bhd serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyertai operasi memadam kebakaran.

Katanya, pihaknya kini sedang membina dua parit sepanjang 1,500 meter bersaiz tiga meter lebar dan empat meter dalam menggunakan dua unit jengkaut dan dijangka siap sepenuhnya esok.
“Parit berkenaan dibina sebagai usaha menghalang api daripada terus merebak lebih luas ke dalam kawasan Hutan Simpan Pekan. Sumber air bawah tanah yang dibangunkan Jabatan Mineral dan Geosains disalirkan ke dalam dua parit terbabit.
“Usaha memadam kebakaran di kawasan paya gambut Hutan Simpan Pekan kali ini berdepan kesukaran disebabkan faktor angin kencang berlaku pada sebelah petang yang menyebabkan api mudah merebak lebih luas ke kawasan lain,” katanya selepas melawat kawasan kebakaran semalam.
Katanya, kali terakhir Hutan Simpan Pekan terbakar dengan serius dua tahun lalu dan cuaca panas menjadi faktor utama kawasan paya gambut berkenaan mudah terbakar hingga menyebabkan banyak pokok mati.
Harry berkata, difahamkan hujan lebat di kawasan terbabit hari ini membantu memadam kebakaran daripada terus berlaku. Sebelum ini aktiviti memadam api menggunakan tenaga manusia dan penyembur air (sprinkler).
“Saya berharap masyarakat setempat tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak api merebak ke kawasan Hutan Simpan Pekan dan Hutan Simpan Pekan Tambahan seterusnya menyebabkan kebakaran.
“Kebakaran yang berlaku di kawasan paya gambut sukar dipadam kerana api berada dibawah tanah selain risiko keselamatan mereka yang mengikuti operasi memadam api,” katanya.
IMedikel TV






