Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf (PKZW) Pahang menerima sebanyak RM20.91 juta zakat perniagaan 14 badan korporat yang beroperasi di negeri ini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain dan Pengurus Besar PKZW Pahang, Dr Mohd Azmi Othman berkata, program yang diadakan adalah manifestasi komitmen berterusan sektor korporat yang beroperasi di negeri ini dalam menunaikan tanggungjawab mereka terhadap bayaran berzakat yang wajib dikeluarkan setiap tahun.
Menurutnya, pada masa dapat memperkukuhkan usaha pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan golongan asnaf di negeri ini. Menerusinya pelbagai bentuk bantuan diberikan kepada mereka yang layak.
“Saya berharap lebih banyak lagi badan korporat menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan mereka di negeri ini secara berterusan setiap tahun.
“Zakat perniagaan yang diterima menjadi sumber buat MUIP mengagihkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan Badan-Badan Korporat Siri 1/2026 yang berlangsung di Balai Temenggong, Istana Abdulaziz, di sini.
Terdahulu Majlis disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Mohd Azmi menegaskan, penganjuran majlis ini mencerminkan hubungan erat antara institusi zakat dan sektor korporat dalam memperkasakan pengurusan zakat di Pahang. Komitmen yang ditunjukkan oleh badan korporat ini diharap dapat menjadi contoh dan galakan kepada lebih banyak syarikat untuk melaksanakan kewajipan zakat perniagaan mereka.
Menurutnya, PKZW Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Tengku Mahkota Pahang menerima serahan zakat tersebut.
“Penghargaan dan ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada semua badan korporat atas kepercayaan serta komitmen berterusan dalam menunaikan zakat di Negeri Pahang.
“Semoga segala sumbangan dan tanggungjawab yang ditunaikan memperoleh keberkatan Allah SWT serta memberikan manfaat yang berpanjangan kepada golongan asnaf dan masyarakat,” katanya.
IMedikel TV






