Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BENTONG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkukuh operasi penguatkuasaan di Janda Baik susulan kebimbangan penduduk berhubung kehadiran warga asing dan penglibatan mereka dalam kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata pihaknya mengambil serius perkara itu dan akan meneruskan pemantauan, risikan serta operasi penguatkuasaan berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima.
Menurutnya, Jabatan Imigresen Negeri Pahang sebelum ini melaksanakan operasi di Janda Baik pada 24 April lalu dengan pemeriksaan di lapan lokasi.
“Hasil operasi itu, seramai 82 individu diperiksa dan 38 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kehadiran warga asing di Janda Baik turut dipengaruhi peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan yang membabitkan resort, chalet serta premis penginapan, selain sektor pertanian dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu berpotensi membuka ruang kepada penggajian warga asing secara tidak sah serta penyediaan penempatan yang mungkin melanggar undang-undang imigresen.
Sehubungan itu, katanya JIM akan memperkukuh penguatkuasaan berasaskan risikan dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), malah majikan, pemilik atau pengendali premis serta pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan PATI tinggal di premis di bawah kawalan mereka.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 55B dan Seksyen 55E,” katanya.
Dalam pada itu, JIM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan menerusi perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“JIM juga menghargai kerjasama penduduk setempat dan persatuan penduduk yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan disyaki melanggar undang-undang imigresen.
“Maklumat tepat amat penting bagi membantu pihak berkuasa membuat pengesahan dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mendedahkan orang awam kepada sebarang risiko.
“JIM menegaskan pemantauan terhadap perkembangan di Janda Baik akan diteruskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan dan berkesan,” katanya.
IMedikel TV






