Home Buletin Semasa RCI BUKAN PENENTU PROSES LCS SIAP SEGERA – KHALED NORDIN

RCI BUKAN PENENTU PROSES LCS SIAP SEGERA – KHALED NORDIN

Oleh: Wartawan IMedikel TV 

KOTA TINGGI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bukan jaminan kapal-kapal berkenaan dapat disiapkan segera setelah berdepan kelewatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya komitmen syarikat pembuat kapal berkenaan dituntut bagi menyegerakan pembinaannya agar negara tiada lagi berdepan kelewatan LCS.

“Itu soalan lama, mereka pernah jadi kerajaan, dan sekarang pun mereka (kerajaan). Dan tentunya bergantung kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya. 

“Dan kalau kita masih ingat, bukankah Mantan Panglima Tentera Laut yang menjadi Pengerusi Boustead Naval Shipyard sudah dihadapkan di mahkamah, sudah didakwa. Jadi soal kapal LCS siap atau tak bukan bergantung kepada RCI, itu soal lain.

“Sebab itu kita minta supaya pembuat kapal itu sekarang menyegerakan dan memastikan tiada lagi kelewatan,” katanya pada sidang media sempena Program Tuaian Pertama Halia KayTi JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di Felda Air Tawar 3, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim yang turut menggesa kerajaan agar mempercepatkan siasatan berhubung isu LCS dengan tidak hanya bergantung kepada penubuhan RCI.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled, memaklumkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) masih mengadakan rundingan dengan beberapa negara yang disenarai pendek bagi mendapatkan sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (surface-to-surface) untuk melengkapkan LCS 1.

Katanya kelengkapan penuh maksudnya dilengkapi dengan peluru berpandu permukaan ke permukaan bagi menggantikan bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM).

“Sekarang ini kapal tu dah ada peluru berpandu permukaan ke udara, permukaan ke kapal selam, dan sistem untuk ‘jammer’. Yang kita tak ada peluru permukaan ke permukaan.

“Sistem itu membolehkan LCS menyerang kapal musuh pada jarak sehingga 100 hingga 200 kilometer tanpa perlu berhadapan secara langsung dengan sasaran.

“Disebabkan ketiadaan sistem itu, kita boleh menggunakan tentera udara untuk melaksanakan tugas berkenaan,”katanya.

Mengulas tentang Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, Mohamed Khaled memberitahu, Kementerian Pertahanan adalah kementerian keempat yang menerima peruntukan besar, tahun depan.

“Kita akan pastikan semua perancangan yang telah diluluskan itu dapat dilaksanakan dengan baik. Antaranya, kita mendapat peruntukan penyelenggaraan rumah-rumah anggota. Kalau dahulu RM400 juta, tahun depan kita akan dapat RM500 juta. 

“Kita berterima kasih kerana peruntukan untuk menjaga kebajikan veteran yang telah menyumbang kepada keselamatan pertahanan negara. Ini penghargaan kepada mereka, jumlah yang diterima lebih sedikit berbanding dahulu,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here