Oleh: Wartawan IMedikel TV
KEMAMAN: Peluang meluangkan masa bersama keluarga sambil menikmati suasana karnival menjadi tarikan kepada penduduk sekitar Telok Kalong apabila Convo Fest UC TATI 2026 membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti sepanjang empat hari penganjurannya.
Berlangsung bersempena Majlis Konvokesyen ke-26 UC TATI, karnival itu bukan sahaja menawarkan pelbagai jualan makanan dan produk setempat, malah turut diserikan dengan program keagamaan, motivasi dan keusahawanan yang memberi nilai tambah kepada pengunjung.
Peluang itu dimanfaatkan pasangan muda Ahmad Fahmi Zuddin, 32, dan isterinya bersama dua anak mereka untuk menikmati aktiviti bersama-sama, sekali gus menjadikan kunjungan itu sebagai ruang meluangkan masa berkualiti seisi keluarga.

“Faktor jarak dan masa komitmen kerja memberi kekangan untuk kami mencari aktiviti kekeluargaan yang kami semua boleh turut serta.
“Walaupun aktiviti ini mungkin dilihat ringkas, kami semua tetap gembira untuk turut sama menyertainya. Yang penting, anak-anak kami teruja untuk turut sama di sini,” katanya,.
Sementara itu, Sharifah Nur Atiyah yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, penganjuran aktiviti sehingga waktu malam memberinya lebih banyak kelonggaran untuk hadir bersama keluarga.
“Sebagai suri rumah sepenuh masa, saya lebih selesa untuk hadir pada waktu malam yang dilihat lebih santai berbanding pada siang hari apabila saya perlu seharian menguruskan urusan keluarga,” katanya.
Pengarah program, Kamrol Amri Mohamed berkata, penganjuran sempena konvokesyen kali ini membawa pendekatan berbeza berbanding edisi terdahulu dengan memberi lebih ruang kepada penduduk setempat untuk turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan.
Katanya, Kolej Universiti TATI (UC TATI) yang telah bertapak di Telok Kalong selama hampir 33 tahun mahu memanfaatkan acara itu sebagai platform untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat sekitar, khususnya penduduk kampung berhampiran.
“UC TATI telah bertapak hampir 33 tahun di sini dan kami mengambil peluang sempena majlis konvokesyen untuk mengeratkan lagi silaturahim dengan penduduk mahupun komuniti setempat, khususnya penduduk kampung berhampiran,” katanya yang juga Pengurus Jabatan Pengurusan Strategik dan Kualiti UC TATI.
Tambahnya, penganjuran itu turut dimanfaatkan sebagai usaha memperluas literasi pendidikan dalam kalangan generasi muda, khususnya dari kawasan luar bandar, supaya mereka mendapat pendedahan lebih dekat terhadap peluang melanjutkan pengajian dan bidang yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi.
Majlis Konvokesyen ke-26 UC TATI membabitkan seramai 380 graduan yang menamatkan pengajian pada peringkat Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan, sains komputer, reka bentuk grafik dan pengurusan teknologi.
UC TATI, yang ditubuhkan pada 1993 dan berpusat di Telok Kalong, Kemaman, memberi tumpuan kepada pendidikan teknikal dan kejuruteraan bagi melahirkan tenaga kerja serta teknokrat berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.
IMedikel TV






