Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan 2026 menyasarkan lebih 7,000 penyertaan menerusi penganjuran 23 acara sukan yang berlangsung di perkarangan AEON Mall, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria berkata, sasaran itu merangkumi penyertaan orang ramai dalam pelbagai aktiviti sukan yang disediakan khususnya untuk penduduk Kota Bharu dan rakyat Kelantan secara keseluruhan.

“Hampir 3,000 peserta menyertai aktiviti Jalan Ria Madani dan Fun Walk yang diadakan pada sebelah pagi, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan.
“Alhamdulillah, hari ini kita sasarkan lebih daripada 7,000 penyertaan untuk di sini sahaja. Kita menyediakan 23 acara sukan untuk disertai rakyat, khususnya di Kota Bharu dan Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan HSN Peringkat Negeri Kelantan 2026 di perkarangan AEON Mall, di sini.
Hadir sama Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad.
Menurutnya, sambutan itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri, termasuk di semua daerah serta sekolah, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai aktiviti sukan.
Katanya, penganjuran HSN bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara sukan menjelang 2030.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Saipuddin berkata, pelaksanaan aktiviti sukan luar di Kelantan ketika ini masih boleh diteruskan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada paras 79 hingga 83.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan memantau keadaan semasa dan menggalakkan aktiviti sukan dilaksanakan di dalam bangunan sekiranya bacaan IPU melebihi 150.
“Sekiranya IPU melebihi 150, kita akan minta rakyat Kelantan mengurangkan aktiviti di luar rumah dan menjalankan aktiviti sukan di dalam bangunan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan persatuan sukan dan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan kualiti udara sebelum menjalankan aktiviti luar.
Sementara itu, Mohd Saipuddin menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai penyediaan peluang pekerjaan kepada 30,000 belia, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif untuk golongan berkenaan, termasuk di Kelantan.
Katanya, peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan mampu memberikan impak baik kepada belia, namun kesesuaian pekerjaan turut bergantung pada minat serta sektor yang ingin diceburi setiap individu.
“Kerajaan memang perlu menyediakan peluang pekerjaan, tetapi ia juga bergantung pada minat belia kerana tidak semua mempunyai kecenderungan terhadap sektor pekerjaan yang sama,” katanya.
IMedikel TV






