Home Buletin Semasa PASANG TALI KESELAMATAN DI LALUAN GUNUNG JASAR

PASANG TALI KESELAMATAN DI LALUAN GUNUNG JASAR

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

CAMERON HIGHLANDS: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands melakukan kerja penambahbaikan laluan pendakian ke Gunung Jasar terletak dalam Hutan Simpan Sempadan Hijau (B), di sini semalam.

Aktiviti berkenaan dilakukan bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan dan keselesaan serta memastikan laluan pendakian berada dalam keadaan yang lebih baik untuk kegunaan pengunjung.

Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkata, usaha penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada komitmen dalam memastikan kemudahan rekreasi hutan sentiasa diselenggara dengan baik, di samping memelihara kelestarian alam semula jadi.

Katanya, kemudahan laluan pendakian dalam kawasan hutan simpan di daerah ini sentiasa menjadi keutamaan PHD Cameron Highlands, pihaknya ingin memastikan mereka yang melakukan aktiviti mendaki sentiasa berada dalam keadaan selesa.

Menurutnya, beberapa laluan mendaki dan menurun di Gunung Jasar dipasang tali keselamatan bagi kemudahan pendaki, keselamatan mereka juga lebih terjamin dengan kemudahan berkenaan yang diselenggara dari ke semasa.

“Kita turut akan memasang tali keselamatan di Gunung Berembun terletak dalam Hutan Simpan Ulu Bertam, Gunung Perdah dalam Hutan Simpan Sempadan Hijau (B) dan Gunung Ruil dalam Hutan Simpan Sempadan Hijau (A)

“Sebelum ini kita telah melakukan penilain keselamatan selepas berlaku kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat berlaku di daerah ini bulan lalu,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya terpaksa menutup sementara laluan pendakian ke empat gunung yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Bertam dan Hutan Simpan Sempadan Hijau bagi menjamin keselamatan pendaki.

Nasrul Akmal berkata, sebelum ini pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penilaian keselamatan laluan mendaki di empat gunung di daerah ini.

“Kita akan membuka semula empat gunung terbabit pada Isnin depan selepas menutupnya sementara beberapa minggu, pendaki boleh mendaki semula dengan mengikut peraturan ditetapkan.

“Pemantauan laluan di empat gunung yang terletak dalam hutan simpan sentiasa dilakukan bagi menjamin keselamatan pendaki,” katanya yang turut sama terbabit melakukan kerja penambahbaikan laluan pendakian ke Gunung Jasar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here