Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Sebanyak 180 pasukan akan bersaing dalam tujuh kategori pada Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 di Stadium Hoki Wisma Belia Indera Mahkota pada 9 hingga 11 Oktober ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Hoki Daerah Kuantan membabitkan tujuh kategori lelaki dan perempuan bawah 12, 15, 18 tahun dan veteran dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM13,600.
Setiausaha Persatuan Hoki Daerah Kuantan, Mohd Yazid Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata setiap negeri menghantar sehingga 20 pasukan, tuan rumah menaruh harapan pada 50 pasukan bersaing dalam semua kategori.
Menurutnya, kejohanan memasuki musim kesembilan penganjuran turut disertai beberapa bekas pemain kebangsaan yang beraksi bersama pasukan veteran, turut tampil pemain remaja kebangsaan dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) negeri.
Katanya, kejohanan kali ini mendapat tajaan kerajaan Pahang, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Persatuan Hoki Negeri Pahang, kerajaan Perlis dan Hockey Zone.
“Kejohanan kali ini antara yang terbesar pernah dianjurkan dengan kehadiran lebih 1,800 pemain remaja dan veteran, mereka memburu kejayaan sambil bercuti bersama keluarga di bandar ini.
“Acara yang diadakan memberi peluang kepada pemain remaja mempamerkan kebolehan dan menimba pengalaman dipentas kebangsaan,” katanya pada sidang media kejohanan berkenaan, hari ini.
Beliau menambah, setiap pasukan yang mencatat kejayaan setiap kategori berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai dan medal serta piala pusingan. Johan kategori gold membawa pulang RM1,000, naib johan
RM500 serta tempat ketiga dan empat secara bersama masing-masing menerima RM250.
Mohd Yazid berkata, penganjur turut menyediakan anugerah pasukan terbaik dan dua anugerah pemain terbaik. Penganjur berusaha menyediakan pelbagai kemudahan kepada pasukan yang bertanding.
“Kejohanan kali ini antara usaha mempromosikan pelancongan sukan di daerah ini, pemain akan datang bersama keluarga sambil menikmati kemudahan disediakan,” katanya.
IMedikel TV






