Home Sukan KELINCAHAN ARIF AIMAN ‘PERBUDAKKAN’ PERTAHANAN INDONESIA TARIK PERHATIAN

KELINCAHAN ARIF AIMAN ‘PERBUDAKKAN’ PERTAHANAN INDONESIA TARIK PERHATIAN

JAKARTA: Kelincahan Arif Aiman Hanapi sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat pertahanan Indonesia apabila pemain sayap Harimau Malaya itu beberapa kali mengucar-ngacirkan benteng Garuda dalam aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), di sini, malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, bukan sekadar larian pantas, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berani mencabar pertahanan tuan rumah secara satu lawan satu, mencari ruang dan melakukan gerakan yang memaksa barisan pertahanan Indonesia sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Malah, kelincahan Arif Aiman turut menjadi pencetus kepada detik paling penting pada babak pertama apabila Thom Haye terpaksa melakukan kekasaran ketika cuba menyekat kemaraannya.

Haye pada awalnya dilayangkan kad kuning, namun selepas semakan VAR, pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin menaik taraf hukuman itu kepada kad merah pada minit ke-37, sekali gus memaksa Indonesia beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh kira-kira 70 minit.

Sebelum insiden berkenaan, Arif Aiman sudah terlebih dahulu menunjukkan ancamannya apabila melakukan larian solo dari bahagian tengah pada minit ke-12 sebelum sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.

Pemain berusia 24 tahun itu sekali lagi menguji Paes pada minit ke-29 menerusi percubaan jarak jauh yang berjaya dikawal penjaga gol berkenaan.

Tidak hairanlah apabila media Indonesia turut memberikan perhatian khusus terhadap aksi Arif Aiman, malah ANTARA menyifatkan pemain itu sebagai antara ancaman yang cukup memenatkan sektor kiri pertahanan Garuda menerusi beberapa gerakan dari sebelah kanan Malaysia.

Pada masa sama, FIFA juga menyorot kelincahan Arif Aiman dalam laporan rasmi perlawanan, sekali gus memperlihatkan pemain itu bukan sekadar menjadi tumpuan penyokong Harimau Malaya, malah turut mendapat perhatian di pentas kejohanan.

Apa yang menarik, aksi Arif Aiman itu turut mengundang reaksi dalam kalangan penyokong Indonesia di media sosial selepas Garuda gagal menewaskan Malaysia di laman sendiri dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh panjang.

Persembahannya seolah-olah memberikan gambaran bahawa barisan pertahanan Indonesia tetap berdepan kesukaran mengawal kelincahan Arif Aiman walaupun benteng tuan rumah dibarisi pemain yang mempunyai latar belakang dan pengalaman bola sepak antarabangsa.

Walaupun perlawanan di GBK berakhir tanpa jaringan, Arif Aiman tetap meninggalkan kesan tersendiri apabila gerakan dan kelincahannya menjadi antara perkara yang memaksa pertahanan Indonesia bekerja keras, selain membawa kepada insiden yang mengubah jumlah pemain di atas padang.

Sementara itu, pengendali sementara Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui kehadiran Arif Aiman dalam pasukan membantu mencorak serangan lebih sistematik terutama dalam usaha merobek kubu lawan.

“Seperti sedia maklum, kita mengetahui kemampuan Arif Aiman dan lariannya cukup pantas serta mampu menjaringkan gol dalam sudut sukar,”katanya.

Kini, selepas berjaya mencetuskan masalah kepada benteng Garuda, Arif Aiman pastinya menjadi antara sandaran Harimau Malaya apabila skuad negara turun menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here