BAKU: Charles Leclerc dipercayai berkongsi lebih banyak maklumat mengenai enjin Ferrari berbanding yang diingini pasukan Formula 1 (F1) itu selepas Grand Prix Azerbaijan.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, situasi lucu dan sedikit janggal antara Leclerc dengan pegawai medianya dirakam ketika temu bual bersama Sky Itali selepas perlumbaan dramatik di Baku, Sabtu lalu.
Leclerc ditanya sama ada jenteranya menggunakan unit kuasa ADUO 2 spesifikasi terbaharu Ferrari dan selepas dia secara tidak sengaja mendedahkan perkara itu, pegawai medianya kelihatan panik sambil menggelengkan kepala.
“Saya menggunakan spesifikasi terbaharu,” jawab Leclerc sebelum memandang seketika ke arah pegawai medianya dan menambah: “Saya tidak tahu sama ada saya patut cakap perkara ini atau tidak. Tetapi saya sangka awak sudah tahu.”
Ia sekali lagi menjadi perlumbaan mengecewakan buat Ferrari apabila prestasi meyakinkan Leclerc ketika sesi kelayakan gagal diteruskan pada perlumbaan utama.
Selepas meraih kedudukan di barisan hadapan bersama George Russell walaupun ketinggalan lapan persepuluh saat daripada catatan petak pertama, Leclerc terus kehilangan satu kedudukan kepada Oscar Piastri dari McLaren dan tidak memiliki kelajuan untuk mencabar pelumba di kelompok hadapan.
Leclerc akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala rakan sepasukannya, Lewis Hamilton turut melalui petang sukar apabila sekadar menduduki tempat keenam.
Pelumba Monaco itu menegaskan Ferrari perlu membawa lebih banyak naik taraf bagi merapatkan jurang dengan Mercedes, sementara McLaren dan Red Bull pula mencatat peningkatan mengagumkan dalam beberapa perlumbaan kebelakangan ini.
“Mereka sangat kuat.
“McLaren juga kuat, mungkin tidak sekuat Red Bull tetapi Red Bull memang sangat kuat. Kami tahu mereka memiliki unit kuasa yang sangat kuat, jadi ini perlumbaan yang baik buat mereka, tetapi masih ada jurang,” kata Leclerc mengenai Mercedes. -AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






