Home Sukan PROGRAM ‘ELEPHANT WARRIOR TALENT HUNT’ CUNGKIL JAGUH ANGKAT BERAT DI PAHANG

PROGRAM ‘ELEPHANT WARRIOR TALENT HUNT’ CUNGKIL JAGUH ANGKAT BERAT DI PAHANG

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Seramai 67 peserta lelaki dan wanita tampil pada program ‘Elephant Warrior Talent Hunt’ sukan angkat berat Majlis Sukan Pahang (MSP) di sini, kelmarin.

Program mencari bakat itu disertai peserta berumur antara 11 hingga 17 tahun dengan matlamat melahirkan atlet angkat berat berbakat yang mampu membawa kejayaan untuk Pahang dipentas kebangsaan dan antarabangsa suatu hari nanti.

Pengarah Majlis Sukan Pahang, Mahadir Abdul Raffar, berkata dia berpuas hati dengan sambutan diterima yang membuktikan sukan angkat berat masih tetap diminati oleh golongan belia.

Katanya, usaha melahirkan atlet angkat berat berkualiti tinggi perlu dilakukan dalam memastikan imej Pahang yang sebelum ini memiliki jaguh angkat berat bertaraf dunia tidak terus ketinggalan dan menjadi kenangan sahaja.

“Pada program pemilihan kali ini semakan awal kita mengenalpasti seramai 25 bakat baharu yang berpotensi tinggi dikesan untuk diserapkan ke dalam program pembangunan sukan angkat berat negeri.

“Daripada jumlah itu seramai lapan peserta membabitkan lima lelaki dan tiga wanita kategori 11 hingga 13 tahun, seramai 17 peserta merangkumi 14 lelaki dan tiga wanita bagi kategori umur 14 hingga 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil menerusi program ini akan muncul beberapa atlet angkat berat yang mampu sekali meletakkan Pahang sebagai pencabar utama dalam sukan berkenaan di peringkat kebangsaan.

Mahadir berkata, pada program ‘Elephant Warrior Talent Hunt’ kali ini penganjur membawa bersama

empat atlet podium kebangsaan iaitu Muhammad Farris Haikal Kamarul, Siti Aqilah Farhana Deraman, Irene Jane Henry dan Nur Syazwani Radzi bagi memberikan sokongan moral serta menyemarakkan semangat peserta.

Katanya, selain ujian kecergasan membabitkan larian, turut diadakan ujian kekuatan dimana setiap peserta perlu mengangkat bebanan mengikut berat badan peserta sebelum mereka disenaraikan mengikut kategori.

“Peserta yang menyertai sesi pencarian bakat ini diberikan sijil penyertaan, rata-rata peserta berpuas hati walaupun mereka tidak berpeluang terpilih dibawah program pembangunan atlet itu.

“Kita akan terus berusaha mengadakan program pemilihan atlet membabitkan dalam pelbagai sukan sebagai usaha memajukan dan mencetuskan kejayaan di peringkat kebangsaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here