Home Luar Negara PENJARA MEWAH, BANDUAN HIDUP BAK VIP?

PENJARA MEWAH, BANDUAN HIDUP BAK VIP?

JAKARTA: Ombudsman Republik Indonesia (ORI) mendedahkan kewujudan kemudahan mewah menyerupai kediaman eksklusif di kawasan Penjara Kelas IIA Cibinong, Jawa Barat, yang dipercayai digunakan banduan.

Memetik Kompas, kemudahan mewah berkenaan turut didakwa mempunyai kaitan dengan bekas Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan (Kadiv Propam) Polis Negara Indonesia, Ferdy Sambo, yang menjalani hukuman atas kesalahan pembunuhan terancang.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, bagaimanapun, ORI belum mengesahkan identiti banduan yang menggunakan kemudahan berkenaan, termasuk sama ada Ferdy adalah antara penghuninya.

Pemeriksaan mengejut ORI pada Rabu lalu menemukan beberapa bangunan berasingan yang dilengkapi kemudahan seperti ruang tamu, bilik, dapur, televisyen, peti sejuk, sofa dan meja makan.

Selain itu, beberapa kenderaan mewah turut ditemukan di kawasan berkenaan, termasuk Toyota Alphard dan Fortuner yang diletakkan di garaj beberapa bangunan. 

Anggota Ombudsman, Fikri Yasin berkata, kewujudan kemudahan berkenaan menimbulkan persoalan kerana kawasan itu dipercayai mempunyai penempatan untuk banduan.

“Kami mengesyaki Ferdy mungkin antara mereka yang menggunakan kemudahan mewah ini. Sudah tentu kami tertanya-tanya mengapa dihalang sebelum mendapati terdapat banyak rumah yang disyaki didiami banduan,” katanya pada Khamis.

ORI turut menerima maklumat bahawa banduan yang menghuni salah sebuah bangunan berkenaan perlu membuat bayaran, namun jumlah serta pihak yang menerima bayaran itu masih belum dikenal pasti.

Seorang lagi anggota ORI, Syafrida Rachmawati Rasahan berkata, pasukannya turut menemukan kawasan menyerupai vila berhampiran rumah wadar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Kami turut menemukan sebuah penempatan di belakang, berhampiran rumah wadar dengan bangunan menyerupai vila lengkap dengan kemudahan. Bangunan itu mempunyai penghuni yang rupa-rupanya banduan,” katanya.

ORI bagaimanapun meminta kemudahan khas berkenaan dirobohkan sebelum pemeriksaan susulan dilakukan dalam tempoh kurang sebulan.

Sementara itu, Pejabat Wilayah Direktorat Jeneral Pemasyarakatan (Ditjenpas) Jawa Barat menafikan, Ferdy menikmati kemudahan khas dan berkata, dia masih ditempatkan di blok kediaman biasa bersama banduan lain.

Ketua Pejabat Wilayah Ditjenpas Jawa Barat, Yudi Suseno berkata, setakat Khamis, pihaknya tidak menemukan maklumat atau petunjuk bahawa Ferdy menggunakan kemudahan berkenaan.

“Sama, benar-benar sama. Tiada keistimewaan. Bilik-bilik itu seperti sedia ada, mengikut reka bentuk standard bangunan berkenaan. Saya percaya tiada apa-apa yang istimewa, semuanya sama,” katanya.

Yudi turut menjelaskan, kawasan yang diperiksa ORI berada dalam zon Kemudahan Asimilasi dan Pendidikan (SAE), termasuk beberapa rumah kediaman rasmi untuk pegawai penjara.

“Apa yang dikunjungi pasukan ORI adalah rumah rasmi yang mempunyai permit kediaman rasmi,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here