LONDON: Kunjungan juara dunia, Sepanyol ke Stadium Wembley pada awal pagi Ahad ini menjadi peringatan pahit buat England tentang apa yang mungkin berlaku, namun Thomas Tuchel memerlukan tindak balas positif bagi meredakan kritikan terhadap penamat kempen Piala Dunia 2026 mereka.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, jika England mampu bertahan lima minit terakhir serta masa kecederaan ketika menentang Argentina dua bulan lalu, mereka sepatutnya bertemu Sepanyol pada final Piala Dunia itu.
Sebaliknya, skuad kendalian Tuchel dibolosi dua gol selepas pengendali Jerman itu melakukan beberapa pertukaran pemain pertahanan dalam usaha memperkemaskan benteng.
“Tiada gunanya menyeksa diri dengan melihat kembali apa yang berlaku,” kata Tuchel ketika mengumumkan skuadnya bagi menghadapi empat perlawanan Liga Negara-Negara UEFA dalam beberapa minggu akan datang.
Namun, pengendali kelahiran Jerman itu mengakui berasa tidak puas kerana gagal mencapai sasarannya untuk menghadiahkan bintang kedua pada jersi England.
Semalam, Bukayo Saka mendedahkan ‘masih ada parut dalam diri kami’ susulan apa yang berlaku di Atlanta.
“Anda cuba melupakannya secepat mungkin, tetapi anda tahu, parut tetap parut dan ia akan sembuh apabila ia sendiri bersedia untuk sembuh,” kata penyerang Arsenal itu.
Ketiadaan Saka, termasuk tidak disenaraikan di bangku simpanan ketika separuh akhir Piala Dunia, menjadi antara beberapa keputusan yang menimbulkan persoalan terhadap pertimbangan Tuchel.
Walaupun berdepan masalah kecergasan sepanjang kejohanan, hanya beberapa hari kemudian Saka menjaringkan hatrik ketika menewaskan Perancis 6-4 untuk memastikan England meraih sagu hati di tempat ketiga.
Walaupun dikritik, Tuchel berkata, interaksinya dengan penyokong sejak Piala Dunia berakhir adalah positif.
Kemenangan 3-2 ke atas Mexico di Stadium Azteca yang ikonik akan kekal dalam ingatan, manakala England bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk memenangi perlawanan kalah mati di Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966.
“99.9 peratus penyokong tidak bercakap mengenai pertukaran pemain, perubahan taktikal dan perkara berkaitan taktikal.
“Mereka bercakap mengenai di mana mereka menonton perlawanan menentang Mexico, mereka bercakap mengenai separuh masa kedua, tenaga dalam perlawanan menentang Croatia, mereka bercakap tentang betapa mendebarkannya ketika menonton perlawanan kami menentang Congo dan di mana mereka meraikannya,” tambah bekas pengendali Chelsea itu.
Seramai 90,000 penonton dijangka memenuhi stadium pada aksi nanti dan Tuchel amat memerlukan pasukannya memberi mereka alasan untuk percaya bahawa dia ialah individu yang mampu akhirnya membawa England meraih kejuaraan kejohanan utama pertama sejak 1966.
Euro 2028 yang akan berlangsung di laman sendiri dalam tempoh dua tahun lagi memberikan peluang sempurna dan berpotensi menjadi peluang terakhir buat kapten berbisa Harry Kane, yang genap usia 33 tahun pada awal tahun ini.
Kejayaan Sepanyol di seberang Atlantik membuktikan mereka ialah penanda aras yang perlu dicapai England.
Skuad kendalian Luis de la Fuente kali terakhir tewas dalam perlawanan kompetitif, tidak termasuk penentuan penalti, tiga setengah tahun lalu.
Tugas Tuchel ialah menyalurkan semangatnya kepada pemain yang sudah keletihan secara fizikal dan emosi akibat pengalaman mereka di Piala Dunia.
Liga Negara-Negara tidak akan mengubat dahaga England untuk memenangi kejohanan utama, namun ia boleh menjadi batu loncatan penting dan landasan menuju Euro.
“Kami merasakan jurang itu semakin rapat dan kami merasakan kami sudah hampir dan mahu membuktikannya.
“Stadium sudah penuh, ia akan menjadi sangat mengujakan, motivasi tidak boleh lebih tinggi untuk berdepan juara dunia,” kata Tuchel.
Sepanyol mara sekurang-kurangnya ke final dalam tiga edisi terakhir kejohanan berkenaan, manakala England hanya sekali mara ke separuh akhir dan pernah diturunkan ke divisyen kedua pada kempen 2022-23.
Kedua-dua pasukan yang masing-masing berada di ranking pertama dan keempat dunia itu menjadi pilihan utama untuk mara ke suku akhir, dengan Croatia dan Republik Czech bakal menjadi lawan seterusnya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






