Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Mudah mendapatkan bekalan dadah ketika berada di laut antara faktor menyebabkan kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan awak-awak bot nelayan laut dalam terus berlaku, malah berlarutan sehingga mereka kembali ke darat.
Seorang bekas awak-awak bot nelayan, Arif, 50, (bukan nama sebenar) berkata, dadah seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan sesetengah awak-awak yang mendakwa mengambil bahan terlarang itu bagi meningkatkan tenaga ketika bekerja.
Menurutnya, bekalan dadah mudah diperoleh sepanjang berada di laut, termasuk menerusi tekong bot yang menyediakan bekalan secara belian terus atau melalui potongan daripada pendapatan awak-awak.

“Dalam tempoh lebih 25 tahun sebagai nelayan laut dalam di daerah ini, setiap bulan saya menghabiskan antara RM350 hingga RM400 untuk membeli dadah yang dibekalkan oleh tekong bot.
“Kemudahan mendapatkan bekalan itu begitu menyenangkan golongan penagih untuk terus mendapatkan dadah.
“Akibat ketagihan dadah, dia sudah 14 kali keluar masuk Penjara Penor dan Penjara Bentong, selain pernah ditempatkan di Pusat Koreksional Kamunting (PKK), Perak,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Madani Yakin ‘Kepulangan Yang Dinanti’ peringkat negeri Pahang sempena Hari Kemerdekaan Negara Ke-69 di Dewan Melati, Penjara Penor, di sini, baru-baru ini.
Terdahulu program itu dirasmikan Pengarah Penjara Pahang, Timbalan Komisioner Penjara Suhaizak Ab Wahab dan turut dihadiri Pengarah Penjara Penor, Penolong Kanan Komisioner Mohd Rusli Abd Rahman.
Pada program itu, seramai 54 prospek dari Penjara Penor membabitkan 45 orang dan Penjara Bentong seramai sembilan orang, yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah, dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman.
Mengimbas perjalanan hidupnya, Arif berkata hukuman penjara yang tidak terlalu lama bagi kesalahan menagih dadah menyebabkan dia tidak serik dan terus mengulangi kesalahan sama.
Bagaimanapun, katanya, titik keinsafan mula hadir kira-kira tiga tahun lalu selepas dia dikenakan hukuman lapan sebatan kerana memiliki dadah.
Namun, keinsafan itu tidak bertahan lama apabila dia kembali terjebak dalam penyalahgunaan dadah sebelum akhirnya sekali lagi berdepan hukuman penjara.
“Hari ini saya dibebaskan lebih awal selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 13 bulan kerana kesalahan menagih dadah.
“Selepas 14 kali keluar masuk penjara, saya kini benar-benar insaf dan berjanji tidak akan mengulangi episod sama,” katanya.
Arif berkata, keputusan untuk meninggalkan pekerjaan sebagai awak-awak bot nelayan laut dalam adalah langkah penting bagi memastikan dirinya tidak kembali terjebak dengan najis dadah.
“Saya akan meninggalkan kerjaya sebagai awak-awak bot nelayan laut dalam. Hanya dengan itu saya mampu menghalang diri daripada kembali menagih dadah.
“Saya akan bekerja di kilang dan menetap di Temerloh,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha memulihkan penagih dadah tidak akan mencapai hasil sekiranya kegiatan pengedaran bahan terlarang itu masih berterusan.
Katanya, pengalamannya yang berulang kali keluar masuk penjara membuktikan akses mudah kepada bekalan dadah boleh menjadi antara faktor yang menyebabkan seseorang penagih
IMedikel TV






