Home Sukan PENYOKONG LIVERPOOL RAMPAS JERSI ISAK DARIPADA KANAK-KANAK

PENYOKONG LIVERPOOL RAMPAS JERSI ISAK DARIPADA KANAK-KANAK

LIVERPOOL: Seorang penyokong Liverpool dikecam hebat di media sosial kerana merampas jersi Alexander Isak daripada seorang kanak-kanak selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berakhir seri 2-2 antara Liverpool dan Nottingham Forest di Anfield, malam tadi.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Isak, yang turut menjaringkan gol, sedang menuju ke terowong ketika menyedari kehadiran seorang penyokong muda di tempat duduk penonton.

Penyerang Sweden itu kemudian menanggalkan jersinya sebelum cuba menghadiahkannya kepada kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, ketika Isak mahu menyerahkan jersi itu, seorang penyokong dewasa dilihat merampasnya daripada tangan kanak-kanak terbabit, sekali gus mengejutkan pemain berkenaan. 

Individu itu kemudian dilihat tersenyum lebar sebelum segera meninggalkan kawasan berkenaan, manakala kanak-kanak itu kelihatan kecewa sambil menghulurkan tangan.

Namun, tindakan tidak bertanggungjawab itu mengundang kecaman daripada penyokong lain yang menyaksikan kejadian berkenaan dan individu terbabit kemudiannya dilihat menyerahkan semula jersi itu kepada kanak-kanak yang sepatutnya menerimanya.

Rakaman insiden berkenaan pantas tular di media sosial dengan ramai penyokong, termasuk daripada kelab lawan, memberikan kecaman keras.

“Adakah orang bodoh seperti ini tidak sedar sekarang ada kamera di mana-mana?” kata seorang pengguna di platform X.

“Orang dewasa merampas jersi yang berpeluh daripada seorang kanak-kanak… dia sepatutnya diharamkan daripada memasuki Anfield lagi.

“Nasib baik budak itu mendapatkannya semula. Menyakitkan hati melihat lelaki dewasa bertindak seperti ini,” kata seorang lagi.

Beberapa pihak pula memuji tindakan orang sekeliling yang campur tangan sehingga penyokong terbabit akhirnya memulangkan jersi berkenaan.

“Tabik kepada individu yang menegurnya sehingga dia menyerahkan jersi itu kepada budak berkenaan.

“Syabas kepada Isak kerana menyedari apa yang berlaku dan memastikan lelaki itu memulangkannya. Memang memalukan,” kata seorang penyokong.

Sementara itu, ia menjadi petang yang mengecewakan buat penyokong Liverpool apabila skuad kendalian Andoni Iraola dua kali ketinggalan kepada pasukan pelawat kendalian Oliver Glasner, yang sememangnya layak membawa pulang satu mata dari Anfield.

Iraola turut berang dengan kesilapan pegawai keempat yang menurutnya menyebabkan pasukannya dibolosi, ketika Liverpool sekadar mencatat satu lagi keputusan seri dalam permulaan musim yang hambar.

Pemain baharu, Victor Munoz, menyamakan kedudukan selepas Forest dua kali mendahului menerusi Dan Ndoye dan sepakan penalti Morgan Gibbs-White, manakala Isak turut membuka akaun jaringannya musim ini.

Namun, Iraola menganggap gol kedua Forest tidak sepatutnya berlaku selepas dia gagal melakukan pertukaran pemain selama tiga minit kerana papan elektronik pegawai keempat tidak berfungsi.

Ketika pertukaran sepatutnya dilakukan, pasukan pelawat melakukan lontaran pantas yang akhirnya membawa kepada pemberian sepakan penalti.

“Saya akan menganalisis sepakan penalti itu, tetapi perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dengan seorang pegawai keempat profesional.

“Tidak sepatutnya mengambil masa. Saya tidak tahu, tiga minit untuk menyediakan papan itu. Kami sudah menyerahkan nombor pemain gantian dua atau tiga minit lebih awal.

“Saya sudah marah kerana pada hentian permainan sebelumnya kami tidak dapat melakukan tiga pertukaran. Sebelum lontaran itu, saya berkata, ‘Baik, kita lakukannya sekarang’. Tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku.

“Mereka perlu memberikan penjelasan, tetapi mengambil masa begitu lama hanya untuk tidak menyediakan dua papan,” kata Iraola. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here