Home Luar Negara BANJIR NEPAL: PENYELAMAT GALI TEROWONG KELUARKAN MANGSA

BANJIR NEPAL: PENYELAMAT GALI TEROWONG KELUARKAN MANGSA

BIDUR: Operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) yang masih hilang selepas banjir besar melanda kawasan Himalaya diteruskan di Nepal dan China, dengan jumlah individu belum ditemui kini menghampiri 3,000 orang.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, bencana itu berlaku selepas limpahan air deras bersama lumpur dan timbunan serpihan melanda kawasan Himalaya seperti tsunami, menyebabkan beberapa perkampungan ditenggelami air.

Angka daripada kedua-dua negara menunjukkan sekurang-kurangnya 682 mayat sudah ditemui manakala ada mangsa dipercayai dihanyutkan arus hingga ke India.

Dalam perkembangan terbaharu pada lewat Sabtu, tentera Nepal berjaya memasukkan paip ke dalam sebuah terowong di tapak hidroelektrik Trishuli 3A di mana beberapa pekerja dipercayai terperangkap.

Menteri Dalam Negeri Nepal, Sudan Gurung, berkata pihaknya sudah mula menyalurkan udara melalui bukaan kecil sebelum kerja penggalian dilakukan bagi membolehkan pasukan penyelamat memasuki terowong itu.

“Kami sudah mula menyalurkan udara melalui bukaan kecil dan kini akan memulakan kerja penggalian sebelum menghantar pasukan penyelamat ke dalam terowong,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih 100 pekerja dipercayai masih hidup dan terperangkap dalam terowong berkenaan, dengan operasi menyelamat kini tertumpu di tapak Trishuli 3A dan 3B.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata runtuhan glasier cair susulan gempa bumi menjadi punca aliran deras yang melanda sempadan Nepal-Tibet pada Rabu dan mengorbankan banyak nyawa.

Walaupun punca sebenar runtuhan itu masih belum diketahui, perubahan iklim menyebabkan glasier mencair di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko bencana seumpamanya.

Ketua Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Simon Steill, berkata runtuhan glasier secara tiba-tiba dan banjir kilat berkenaan menjadi peringatan mengenai betapa rapuhnya persekitaran kawasan pergunungan.

“Pada masa sama, kita tahu iklim yang semakin panas akibat manusia gunakan arang batu, minyak dan gas dalam jumlah besar, menjadikan tragedi seperti ini dan banyak lagi bencana di seluruh dunia lebih berkemungkinan berlaku, lebih kerap dan lebih dahsyat.

“Komuniti yang rentan juga sering menjadi pihak paling teruk terjejas,” katanya.

Mangsa yang terselamat kini berdepan penantian penuh debaran untuk mengetahui nasib saudara-mara yang masih hilang, selain perlu membina semula kehidupan mereka dari awal.

Di sebuah pangkalan tentera yang menjadi pusat utama operasi menyelamat di Bidur, saudara-mara mangsa berhimpun bagi menyemak senarai nama individu yang berjaya diselamatkan dan dipaparkan pada dinding.

Pihak berkuasa bencana Nepal menyenaraikan 933 pekerja sektor hidroelektrik antara individu yang masih hilang di kawasan berkenaan, selain 517 warga asing termasuk pengembara dan penganut Hindu yang melakukan ziarah ke Gunung Kailash yang dianggap suci di Tibet. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here