Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Penganjur kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) terpaksa memindahkan acara hoki ke Temerloh berikutan kualiti udara di Kuala Lumpur kini berada pada tahap tidak sihat.
Perubahan gelanggang di saat akhir itu menyebabkan semua kontinjen terlibat terpaksa berpindah dari Kuala Lumpur ke Temerloh, sekali gus memerlukan penyusunan semula aspek penginapan, pengangkutan, logistik dan persediaan pasukan.
Situasi tersebut turut menyebabkan perancangan asal pertandingan tidak dapat diteruskan seperti dijadualkan. format kejohanan terpaksa diubah kepada hoki sembilan sebelah, manakala pertandingan akan berlangsung secara format karnival dengan tempoh permainan 15 minit.
Keputusan memindahkan kejohanan dilihat bertepatan dengan keadaan kualiti udara semasa apabila terdapat jurang ketara antara Kuala Lumpur dan Temerloh.
Perpindahan secara besar-besaran itu pastinya memberi cabaran kepada kontinjen, khususnya apabila persediaan awal dibuat berdasarkan gelanggang asal di Kuala Lumpur sebelum perubahan terpaksa dilakukan dalam tempoh singkat.
Atas faktor keselamatan dan kesihatan pemain, pegawai serta semua pihak yang terlibat menjadi keutamaan, lebih lagi kejohanan membabitkan pelajar sekolah dan aktiviti sukan luar yang memerlukan tahap kecergasan serta pendedahan berpanjangan kepada udara terbuka.
Semua kontinjen perlu segera menyesuaikan diri bukan sahaja dengan gelanggang baharu di Temerloh, malah perubahan besar format pertandingan daripada perancangan asal kepada sembilan sebelah dengan tempoh permainan hanya 15 minit.
Dalam situasi luar jangka akibat kualiti udara yang tidak menentu, fokus kini beralih kepada usaha memastikan Kejohanan Hoki MSSM dapat diteruskan dengan selamat meskipun terpaksa berlangsung dalam format yang berbeza daripada perancangan asal.
IMedikel TV






