Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Kelantan susulan perkembangan keselamatan yang berlaku di beberapa wilayah selatan Thailand sejak minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah berkenaan termasuk penambahan anggota, penggunaan teknologi dron serta peralatan berteknologi tinggi bagi memastikan tiada ketirisan berlaku di sempadan negara.
Mohd Khalid berkata beliau berpuas hati dengan tindakan yang diambil Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff dengan kerjasama Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan.
“Setakat ini saya melihat tindakan yang dibuat pihak KDNKA dan Ketua Polis Kelantan begitu berkesan. Kita telah mempertingkatkan kawalan dari sudut penambahan anggota, penggunaan teknologi dron dan beberapa peralatan canggih yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pangkalan Lubok Gong, di sini semalam.
Beliau berkata, kawalan berterusan turut diperlukan bagi mencegah kegiatan penyeludupan termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta barangan keperluan harian melalui laluan tidak sah.
“Ini adalah satu perkara yang kritikal dan memerlukan pengawasan berterusan supaya ketirisan dapat kita kawal dengan baik dan sempurna,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika melakukan perjalanan ke negara jiran susulan perkembangan keselamatan yang berlaku di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, aspek keselamatan diri perlu sentiasa diberi keutamaan bagi mengelakkan rakyat Malaysia terdedah kepada sebarang perkara di luar jangkaan yang boleh mendatangkan kemudaratan.
Mohd Khalid turut menegaskan PDRM sentiasa bersedia membantu agensi berkaitan di pintu masuk negara termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengekang sebarang bentuk ketirisan.
Katanya, arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini adalah supaya PDRM membantu agensi terbabit bagi memastikan keselamatan di sempadan dan pintu masuk negara terus diperkukuh.
IMedikel TV






