Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 38 individu termasuk seorang lelaki tempatan yang dipercayai tekong darat, selepas sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan bersembunyi di kawasan semak berhampiran Sungai Kelantan, Kampung Cina, di sini, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, operasi awal pagi semalam itu menahan 37 individu warga Myanmar termasuk seorang bayi lelaki berusia kira-kira enam bulan.
Beliau berkata, tangkapan itu adalah yang terbesar direkodkan Maritim Malaysia Kelantan setakat tahun ini.
Katanya tangkapan dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan di sekitar kawasan berkenaan.

“Kejadian kira-kira jam 5.20 pagi apabila bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot mencurigakan bergerak laju dalam keadaan bergelap dari arah Kuala Besar menuju Kota Bharu.
“Apabila menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, bot berkenaan terus memecut dan berjaya meloloskan diri.
“Namun, anggota meneruskan pencarian sebelum menemui sebuah bot mencurigakan berhampiran Kampung Cina. Beberapa individu dilihat keluar dari bot dan menaiki tebing sungai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Kamal berkata, bot berkenaan sekali lagi memecut meninggalkan lokasi selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dan dipercayai meloloskan diri melalui laluan cetek yang tidak boleh dilalui bot ronda Maritim Malaysia.
Susulan itu, anggota merapat ke tebing sungai dan menjalankan pencarian sebelum menemukan seorang lelaki warga tempatan bersama sebuah motosikal serta 37 individu lain yang dipercayai bersembunyi di dalam semak.
Katanya hasil pemeriksaan mendapati kumpulan itu terdiri daripada 25 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi lelaki berusia kira-kira enam bulan.
“Lelaki warga Malaysia berusia 40 tahun itu disyaki sebagai tekong darat. Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya pula didapati positif methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, 37 individu yang disyaki pendatang tanpa izin ditahan untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Kamal berkata, daripada jumlah itu, tujuh individu memiliki pasport namun tiada rekod kemasukan ke negara ini secara sah, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati bayaran bagi kemasukan secara haram berkenaan dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000, bergantung kepada lokasi dan destinasi.
“Kesemua yang ditahan kini dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut dan proses reman,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari enam bulan hingga 57 tahun.
Maritim Malaysia Kelantan, katanya, akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin serta jenayah maritim.
IMedikel TV






