PETALING JAYA: Pengalaman menjayakan supertele seram, Bisikan Pontianak meninggalkan trauma buat pelakon, Nadia Brian, apabila dia mendakwa benar-benar dirasuk ketika masih berada dalam karakter.
Memetik laporan Berita Harian, lebih mengerikan, kejadian itu turut disaksikan Datuk Remy Ishak yang memegang watak Arfan, sekali gus memberikan pengalaman luar biasa buat kedua-dua pelakon berkenaan sepanjang penggambaran naskhah arahan Faizul Rashid itu.
Nadia, 34, berkata kejadian berkenaan berlaku ketika dia sedang menjayakan babak kerasukan dan kesannya masih dirasai sehingga kini.
“Memang saya dirasuk, tetapi kalau boleh saya tak nak ingat pun apa yang berlaku sebab ia macam pascatrauma.
“Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya apa yang berlaku, sama ada ia datang daripada minda separa sedar atau sebaliknya,” katanya ditemui pada pelancaran supertele berkenaan di sini, baru-baru ini.
Menurut Nadia, kejadian itu hanya berlaku dalam tempoh kurang lima minit, namun cukup untuk membuatkannya terganggu dan memerlukan masa beberapa jam untuk kembali tenang sebelum meneruskan penggambaran.
“Saya jadi sangat ‘down’ ketika itu dan memang tak nak teruskan penggambaran. Produksi beri masa hampir tiga atau empat jam untuk kami berehat.
“Saya rasa nak balik kerana terlalu gementar, takut dan trauma,” katanya.
Nadia berkata, dia juga tidak sanggup memandu pulang sendirian selepas kejadian berkenaan, sebaliknya meminta rakannya datang mengambilnya di lokasi penggambaran.
Bagaimanapun, pengalaman itu tidak membuatkan Nadia serik untuk menerima tawaran dalam genre seram kerana menganggapnya sebahagian daripada cabaran dalam kerjaya lakonan.
“Saya tak serik. Mungkin saya tak akan serik sebab itu salah satu rezeki apabila orang nampak Nadia boleh buat cerita seram.
“Cuma untuk tempoh satu atau dua bulan ini mungkin ada sedikit trauma. Kalau ditawarkan, saya akan ambil juga kerana sebagai anak seni kita kena buat apa sahaja,” katanya.
Nadia berkata, lokasi penggambaran turut membantu membina suasana seram apabila produksi memilih sebuah kediaman yang dipenuhi pelbagai barangan koleksi lama.
“Rumah itu sebenarnya tempat pengumpul barang antik. Ada banyak lukisan, piano, kerusi serta tanduk binatang.
“Hari pertama masuk pun saya sudah rasa sesuatu yang berbeza dengan suasana dan aura di tempat itu,” katanya.
Walaupun melalui pengalaman yang tidak dijangka, Nadia menegaskan kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menerima cabaran baharu dalam lakonan.
“Setakat ini pengalaman itu taklah buatkan saya sampai jadi lemah semangat atau cepat takut dan tak mahu pergi bekerja.
“Mungkin itu sebahagian daripada karakter. Saya memang sudah berada dalam dunia karakter itu,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






