Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 38.7 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, berhadapan Kedai Makan Dataran Machang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, mangsa berusia 18 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Aruz yang dipandu wanita berusia 45 tahun bersama empat penumpang.
“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kota Bharu sebelum membelok ke kanan untuk memasuki kedai makan di sebelah kanan jalan.
“Pada masa sama, motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kiri kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu kereta serta empat penumpangnya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum melakukan sebarang pergerakan membelok.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 09-975 1222.
IMedikel TV






