Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebahagian struktur bahagian atas sebuah pasar raya di Berek 12, di sini, mengalami kerosakan selepas dipercayai dipanah petir ketika hujan dan angin kuat, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam, selepas pasar raya berkenaan ditutup kepada pelanggan pada jam 10 malam.
Pengurus pasar raya, dikenali sebagai Ben, berkata pihaknya hanya menyedari kejadian itu selepas menerima maklumat daripada rakan sekerja yang memaklumkan mengenai hantaran di Facebook berhubung kerosakan pada struktur bangunan.
Menurutnya, beliau kemudian bergegas ke lokasi sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan panduan serta memastikan keselamatan orang awam.

“Seorang rakan menghantar video daripada Facebook kepada saya. Kemudian saya saya terus hubungi 999 untuk mendapatkan panduan dan bantuan sebab saya tidak mempunyai kuasa untuk menutup jalan di sini.
“Tetapi kita tahu benda ini membahayakan kerana kita nampak bahagian atas bangunan itu sudah ada retak sedikit. Jadi kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba kemudian tiba di lokasi menggunakan kren bagi melakukan pemeriksaan terhadap struktur berkenaan dan mendapati terdapat keretakan.
Katanya, kawasan terbabit kemudiannya disekat bagi menghalang orang ramai daripada melalui laluan berkenaan sehingga kerja pembaikan dapat dilakukan.

“Bomba datang dengan kren dan memeriksa bahagian atas. Saya dimaklumkan memang ada keretakan dan mereka minta bahagian yang retak itu dibuang bagi memastikan keselamatan,” katanya.
Menurut Ben, pihak kontraktor juga sudah dimaklumkan untuk menjalankan kerja pembaikan, manakala pemilik bangunan turut dimaklumkan berhubung kerosakan terbabit.
Beliau berkata, pihaknya berharap kerja pembaikan dapat diselesaikan segera kerana keadaan cuaca seperti hujan, ribut dan angin kencang dikhuatiri boleh menyebabkan serpihan struktur jatuh dan membahayakan pengguna jalan raya.
Dalam kejadian sama, panahan petir turut menyebabkan bekalan elektrik di premis berkenaan terputus, selain berlaku kerosakan pada peralatan elektrik termasuk stabilizer yang menyebabkan sistem bekalan elektrik terpelantik.
“Nasib baik kejadian berlaku selepas waktu operasi dan semua kakitangan sudah tiada di premis ketika itu,” katanya.
Sementara itu, seorang pemilik kedai makan berhampiran pasar raya, Mira, 36, berkata dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas dimaklumkan oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, ketika kejadian, hujan tidak terlalu lebat namun disertai panahan petir yang kuat dan angin kuat.
“Saya balik kira-kira jam 5.30 petang petang semalam. Pagi tadi baru saya datang dan melihat kejadian serta memeriksa kedai saya.
“Kedai saya juga mengalami kerosakan pada bahagian zink yang rosak akibat kejadian itu,” katanya.
Mira yang sudah menjalankan perniagaan nasi ayam di lokasi itu sejak kira-kira empat bulan lalu berkata, kerosakan terbabit perlu dibaiki bagi memastikan keselamatan peniaga dan pelanggan.
IMedikel TV






