Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands menerima kehadiran seramai 9,197 pelancong dalam dan luar negara dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin, berkata tahun lalu seramai 30,414 pelancongan berkunjung untuk melihat keunikan lumut sambil menikmati udara sejuk serta segar tanpa sebarang gangguan.
Menurutnya, jumlah pelancong yang berkurangan datang ke TER Mossy Forest tahun ini bukan disebabkan mereka tidak berminat datang ke kawasan tanah tinggi itu, sebaliknya kerana tempat berkenaan ditutup beberapa bulan berikutan kejadian tanah runtuh hingga menjejaskan laluan berjalan kaki.

“TER Mossy Forest antara produk yang begitu terkenal dikalangan pelancong tempatan dan asing yang datang ke Cameron Highlands, kedatangan mereka di Cameron Highlands seolah tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Mossy Forest.
“TER Mossy Forest yang terletak di kaki Gunung Irau terkenal dengan keunikan pelbagai jenis lumut melekat pada pokok termasuk diatas tanah, cuaca sejuk dengan pemandangan menarik diatas bukit.
“Kemudahan lain disediakan untuk pelancong membabitkan laluan pejalan kaki sepanjang 200 meter, menara dan pondok berehat,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya mengenakan bayaran pada pelancong yang ingin masuk ke kawasan TER Mossy Forest melalui laluan pejalan kaki.
“Pelancong asing perlu membayar RM15 hingga RM30 seorang sementara pelancong tempatan dikenakan caj RM5 hingga RM10 sahaja,”katanya.
Nasrul Akmal berkata, pihaknya menempatkan tiga hingga lima kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan TER Mossy Forest, selain menjual tiket sambil memberi penerangan mereka turut terbabit dalam menjaga kebersihan.
Katanya, sebelum ini pelancong dibenarkan membawa kenderaan sendiri ke TER Mossy Forest, namun kini pihaknya memutuskan tidak membenarkan pelancong menaiki kenderaan sendiri sebaliknya menggunakan kenderaan pihak yang menyediakan kemudahan itu.

“Setiap tahun pada musim hujan kita menutup sementara TER Mossy Forest, tindakan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pelancong. Kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang boleh berlaku apabila hujan berlaku secara berterusan.
“Jumlah pelancong yang berkunjung ke TER Mossy Forest bertambah setiap tahun, tempat berkenaan kini terkenal hingga ke peringkat antarabangsa. Kita sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan bagi keselesaan pengunjung,” katanya.
IMedikel TV






