Home Buletin Semasa HOTEL BAJET JADI PORT PELACURAN WARGA ASING DISERBU, 57 DITAHAN

HOTEL BAJET JADI PORT PELACURAN WARGA ASING DISERBU, 57 DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SEREMBAN: Taktik menjadikan hotel bajet dan rumah tumpangan sebagai lokasi kegiatan pelacuran warga asing terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu tiga lokasi sekitar Seremban, Negeri Sembilan, pada Ahad lalu.

Operasi yang bermula kira-kira jam 2 petang itu dilaksanakan sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur.

“Berdasarkan maklumat awal KBRI berhubung penglibatan warga Indonesia dalam aktiviti tidak bermoral serta hasil risikan, pasukan operasi menahan 57 individu berusia antara 19 hingga 65 tahun.

“Mereka terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan, tiga lelaki Indonesia, 12 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar.

“Turut ditahan ialah 26 wanita Indonesia, lima wanita Bangladesh dan seorang wanita India,” menurut kenyataan JIM.

Menurut JIM dalam pemeriksaan di premis berkenaan, JIM turut menyita beberapa pasport milik warga Bangladesh, India dan Indonesia, selain telefon bimbit, kunci premis serta kondom.

“Hasil siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan dengan menempatkan wanita warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian, seminggu sehingga sebulan.

“Premis terbabit dipercayai diurus dan dikawal warga tempatan serta warga asing yang berperanan sebagai ‘kapten’ atau pengurus premis.

“Wanita warga asing berkenaan dipercayai menawarkan perkhidmatan seks pada kadar RM50 bagi setiap perkhidmatan, dengan pelanggan terdiri daripada warga asing dan tempatan,” menurut JIM.

JIM percaya kegiatan itu telah beroperasi kira-kira setahun dengan struktur pengurusan yang tersusun bagi memastikan operasi berkenaan terus berjalan.

“Sindiket berkenaan dipercayai mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tujuh warga tempatan yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Warga asing pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut.

JIM menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara demi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran Malaysia terus terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here