Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM675,000 bagi memperkasakan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) tahun ini, membabitkan lebih 2,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata peruntukan itu disediakan bagi pelaksanaan TRS di kesemua 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, tahun ini adalah tahun ketiga program berkenaan dilaksanakan sebagai antara inisiatif kerajaan negeri membantu calon SPM membuat persediaan menghadapi peperiksaan secara lebih tersusun dan berfokus.

“Alhamdulillah, Program Tuisyen Rakyat Sejahtera terus diperkasakan sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri Kelantan membantu calon-calon SPM membuat persediaan yang lebih tersusun dan berfokus menghadapi peperiksaan.
“Bagi tahun ketiga pelaksanaan program ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM675,000 di kesemua 45 DUN, melibatkan lebih 2,700 calon SPM di seluruh negeri,” katanya menerusi perkongsian di laman rasmi beliau.
Beliau berkata, kelas TRS tahun ini bermula sejak Julai dan berlangsung sehingga Ogos 2026 dengan memberi tumpuan kepada empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
Katanya, tempoh berkenaan dimanfaatkan bagi membantu pelajar memperkukuh penguasaan topik, meningkatkan teknik menjawab soalan serta membuat persediaan lebih awal sebelum menduduki peperiksaan sebenar.
“Bagi memastikan kualiti pembelajaran, program ini turut mendapatkan khidmat guru-guru berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam subjek masing-masing sebagai tenaga pengajar.
“Pendekatan ini penting supaya pelajar bukan sekadar mengikuti kelas tambahan, tetapi menerima bimbingan yang tepat daripada guru yang memahami kehendak peperiksaan dan keperluan pelajar,” katanya.
Wan Roslan berkata, penyertaan TRS juga dibuka kepada semua calon SPM dan tidak terhad kepada pelajar sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) sahaja.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut memperluaskan akses pendidikan menerusi kemudahan e-Tuisyen yang mula dilaksanakan pada 2025, sekali gus memberi peluang kepada pelajar mengikuti bimbingan akademik secara dalam talian.
Beliau berkata, usaha memperkukuh program berkenaan akan diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat.
“Harapan kita agar setiap ruang dan peluang yang disediakan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh anak-anak Kelantan dalam mengejar kecemerlangan pendidikan dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
IMedikel TV






