Home Buletin Semasa AXIA TERBABAS LANGGAR POKOK, WANITA WARGA EMAS MAUT, DUA CEDERA

AXIA TERBABAS LANGGAR POKOK, WANITA WARGA EMAS MAUT, DUA CEDERA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Seorang wanita warga emas maut manakala dua lagi cedera selepas Perodua Axia dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Cabang 4 Salam, di sini, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Che Rokiah Che Idris, 73, dari Tanah Merah, adalah penumpang kenderaan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.16 pagi itu, Perodua Axia terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Pasir Mas menuju ke Rantau Panjang sebelum terbabas dan merempuh pokok.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nazaruddin Mahussain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 11.16 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada jam 11.24 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai, dan mendapati mangsa tersepit di dalam kenderaan.

“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan.

“Dua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa yang meninggal dunia pula dikeluarkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi kru IMedikel TV.

Katanya dua mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Norqistina Mazlan, 18, dan Normaisarah Mazlan, 23, kedua-duanya dari Kampung Kochang, Pasir Mas.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat,” katanya.

Operasi menyelamat dikawal pada jam 11.35 pagi dan membabitkan enam anggota BBP Rantau Panjang dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here