Home Luar Negara PENJUAL KERETA DISAHKAN PUTERA BELGIUM SELEPAS UJIAN DNA

PENJUAL KERETA DISAHKAN PUTERA BELGIUM SELEPAS UJIAN DNA

BELGIUM: Putera Laurent dari Belgium secara sah mengiktiraf bekas penjual kereta, Clement Vandenkerckhove, 26, sebagai anak lelakinya, lapor BBC.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Putera Laurent adalah adik kepada Raja Philippe, iaitu Raja Belgium yang memerintah ketika ini.

Menurut BBC, Clement, hasil hubungan antara Putera Laurent dengan penyanyi terkenal Belgium, Wendy Van Wanten diterima sebagai anggota keluarga diraja dalam satu upacara di dewan bandar raya, kira-kira enam bulan lalu.

Walaupun butiran mengenai upacara berkenaan baru didedahkan kepada umum, pengiktirafan itu sudah dimuktamadkan secara rasmi mengikut undang-undang.

Walaupun kini bergelar putera, Clement tidak akan menerima sebarang elaun diraja daripada kerajaan. 

Putera baharu itu mengambil masa beberapa tahun untuk membiasakan diri dengan hakikat bahawa bapanya adalah kerabat diraja.

Beliau baru-baru ini berkata, masih belum pasti sama ada mahu menggunakan nama keluarga bapanya, Saxe-Coburg.

“Saya mungkin mahu berbuat demikian tetapi saya bangga dengan nama Vandenkerckhove. Jika saya mengorbankan nama keluarga itu, ia seperti mengkhianati segala yang sudah dilakukan ibu untuk saya” katanya kepada Het Nieuwsblad.

Clement juga tidak akan berada dalam senarai pewarisan takhta Belgium, berbeza dengan adik-beradiknya, Puteri Louise, Putera Aymeric dan Putera Nicolas. Beliau juga tidak akan terbabit dalam sebarang aktiviti rasmi keluarga diraja.

Clement sudah dikenali ramai dalam kalangan rakyat Belgium selepas kisahnya menjadi topik sebuah dokumentari televisyen Flemish terbitan VTM pada September lalu yang memaparkan bagaimana beliau mula mengenali bapanya.

Bapanya pernah menjalinkan hubungan dengan Wendy atau nama sebenarnya, Iris Vandenkerckhove sebelum Putera Laurent berkahwin dengan Puteri Claire pada 2003.

Menerusi dokumentari itu, Clement menceritakan pertemuan tidak disengajakan dengan Putera Laurent di sebuah pusat beli-belah pada 2013 tanpa menyedari identiti sebenar lelaki berkenaan, sebelum ibunya kemudian mendedahkan rahsia itu kepadanya ketika beliau berusia 16 tahun.

Selepas memberanikan diri menghubungi dan bertemu bapanya secara bersemuka, Putera Laurent mencadangkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat di hospital yang kemudian mengesahkan padanan sebanyak 99.5 peratus sekali gus mengesahkan hubungan biologi antara mereka.

Perkembangan itu mengingatkan kepada kes bekas Raja Albert II yang turut mengiktiraf anak perempuannya, Puteri Delphine, selepas melalui pertikaian di mahkamah. – AGENSi, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here