Home Buletin Semasa RIBUAN BELIA PELBAGAI KAUM KONVOI MOTOSIKAL KIBAR JALUR GEMILANG

RIBUAN BELIA PELBAGAI KAUM KONVOI MOTOSIKAL KIBAR JALUR GEMILANG

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Bukan sekadar konvoi bermotosikal, penyertaan lebih 1,000 belia berbilang kaum dan agama dalam program Semarak Kibarkan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2026 menjadi manifestasi perpaduan masyarakat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-69.

Lebih menarik, program berkenaan menghimpunkan anak muda Melayu, Cina dan India yang bersama-sama menyusuri sekitar Parlimen Kepala Batas sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagi peserta, Amin Nur Adam Abdul Latiff, 21, penyertaannya dalam konvoi itu bukan sahaja menimbulkan rasa cinta kepada negara, malah membuka peluang untuk mengenali rakan daripada pelbagai latar belakang.

“Saya jadi semangat apabila tengok semangat orang lain. Pada mulanya, hanya tumpang tengok kemeriahan tetapi lama-lama dalam hati timbul minat.

“Macam selama ini saya tengok merdeka tiada apa-apa, biasa je tetapi lepas ikut (konvoi) baru ada feeling (rasa) dan paling seronok jumpa ramai kawan pelbagai bangsa dan agama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam program berkenaan, hari ini.

Bagi Liong Sek Lay, 42, konvoi itu pula memberi pengalaman baharu apabila dia mengambil keputusan mengikuti suaminya bersama anak perempuan mereka.

“Konvoi macam ini suami sahaja selalu pergi tetapi kali ini rasa nak ikut sekali dengan bawa anak. Tak sangka meriah macam ini dan seronok dapat jumpa ramai-ramai.

“Saya selama ini banyak kawan Melayu, India dan masih berkawan dengan mereka bila kumpul semua bangsa macam ini bertambah seronok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Belia PPP Kepala Batas, Janarthanan Velliathum, berkata program sedemikian penting dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum, khususnya golongan belia.

“Macam kita tengok sekarang terlalu banyak kes memecah belahkan keharmonian negara dan diharapkan Kepala Batas menjadi contoh kepada parlimen lain untuk kumpul belia berbilang kaum, bangsa di satu tempat dalam menyatupadukan kita semua,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata beliau gembira melihat program itu berjaya menghimpunkan anak muda daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

“Selain Melayu, ada kaum India, kaum Cina pun ramai tadi terdiri daripada anak-anak muda menggunakan kesempatan ini untuk menanam, menyemai dan akhirnya menyatukan jiwa, hati, nurani keluarga besar dan rakyat berbilang kaum, khususnya di Kepala Batas,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 10,000 Jalur Gemilang akan dipasang di seluruh kawasan Parlimen Kepala Batas sebagai sebahagian usaha menyemarakkan sambutan kemerdekaan selain menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Katanya, usaha itu adalah kesinambungan program yang dimulakan kira-kira dua minggu lalu dengan turun ke seluruh Kepala Batas bagi membantu pemasangan Jalur Gemilang di semua premis perniagaan.

“Selain itu, ia bertujuan menceriakan kawasan selain menjadikan lambang penyatuan, kebanggaan dan maruah rakyat,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here