Home Buletin Semasa POLIS KELANTAN LUPUS 6,536 BARANG KES DADAH BERNILAI RM1.1 JUTA 

POLIS KELANTAN LUPUS 6,536 BARANG KES DADAH BERNILAI RM1.1 JUTA 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebanyak 6,536 barang kes berkaitan dadah bernilai RM1.104 juta dilupuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, membabitkan kes yang telah selesai di mahkamah bagi tempoh 2008 hingga 2024.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pelupusan itu membabitkan pelbagai jenis dadah termasuk bahan dalam bentuk pepejal dan cecair yang dirampas dalam kes-kes narkotik sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, antara jumlah terbesar ialah dadah jenis methamphetamine atau pil yaba sebanyak 7.95 kilogram (kg), diikuti syabu sebanyak 4.97kg.

“Bagi ketum pula, jumlah yang dilupuskan ialah 24.3kg, manakala keseluruhan dadah dalam bentuk berat adalah sebanyak 39.41kg.

“Untuk bahan dalam bentuk cecair pula, termasuk air ketum, jumlah keseluruhannya ialah 2,534 liter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata, pelupusan berkenaan dilaksanakan selepas kes-kes terbabit selesai dan mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang terlibat.

Katanya, semua barang kes akan dihantar ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn. Bhd. Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan sebagaimana arahan pelupusan barang kes Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207. 

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff berkata, PDRM Kelantan akan terus memperkukuhkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada penagih, malah rangkaian pengedar dan token dadah di negeri ini.

“Bermula 15 Julai lalu, kita sudah melaksanakan pelan tindakan baharu untuk memperkasakan usaha menangani masalah dadah.

“Kita bukan hanya mahu menangkap penagih, tetapi turut mahu mencantas kegiatan pengedar serta token-token dadah di Kelantan,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dalam usaha memutuskan rantaian pengedaran dadah di negeri ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here